'Saya tetap setia dengan PAS dan PN' – Wan Ahmad Fayhsal

'Saya tetap setia dengan PAS dan PN' – Wan Ahmad Fayhsal

nfazlina@nstp.com.my

Machang: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan beliau akan tetap setia dengan PAS dan Perikatan Nasional (PN) walaupun dikenakan tindakan iaitu digantung keahlian oleh BERSATU selama satu penggal.

Beliau turut memaklumkan tidak sesekali mengkhianati kepercayaan pengundi di Parlimen Machang kepadanya dengan menyertai parti lain.

“Dalam Parlimen hari ini, saya ditanyakan oleh Ahli Parlimen Jelutong berhubung tindakan yang diambil oleh BERSATU kepada saya dan beliau turut mengajak saya untuk menyertai DAP.

“Saya jawab terima kasih atas jemputan namun saya tidak akan berganjak dan akan kekal setia bersama PAS serta PN.

“Ini bukan kali pertama saya menerima tawaran sebaliknya pernah disogok sebanyak RM5 juta dua tahun lalu untuk kerusi Parlimen Machang, namun saya tidak berganjak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di ceramah perdana sempena Sambutan 70 Tahun PAS Kelantan Peringkat PAS Kawasan Machang, malam ini.

Katanya, sekiranya beliau berbuat demikian dengan menerima tawaran berkenaan, pengundi di Parlimen Machang akan memaki hamunnya.

“Insya-Allah saya akan kekal setia dengan PAS dan PN,” katanya.

Media semalam melaporkan, Lembaga Disiplin BERSATU semalam memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian Wan Fayhsal selama satu penggal berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.

Empat lagi pemimpin akar umbi BERSATU yang turut berdepan tindakan pemecatan adalah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.

Kedudukan Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal sebagai Ahli Parlimen bagaimanapun tidak terjejas memandangkan pemecatan keahlian dalam mana-mana parti tidak tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya undang-undang bertukar parti.

Bagaimanapun mereka yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan dijatuhi hukuman itu berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top