'Saya tidak boleh bayangkan keadaan adik Umairah, teringat anak sendiri'

'Saya tidak boleh bayangkan keadaan adik Umairah, teringat anak sendiri'

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: “Saya tahan menangis ketika mengangkat jenazahnya kerana terbayang anak saya. Secara kebetulan, arwah sebaya dengan anak saya walaupun sekolah berlainan.”

Demikian kata Kamarul Nizam Kamarudin, 36, antara individu yang terbabit dalam menguruskan jenazah Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, yang maut selepas dilanggar van di hadapan pintu pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, dekat sini, tengah hari tadi.

Pekerja pembersihan itu berkata, dia ketika itu dalam perjalanan ke pekan Parit Sulung sebelum ternampak kemalangan di hadapan sekolah terbabit.

“Saya pun berhenti untuk melihat kejadian sebenar. Saya diberitahu ada murid meninggal dunia selepas dilanggar van ketika pulang ke sekolah.

“Saya tiba kira-kira sejam selepas kejadian dan orang ramai masih lagi berada di lokasi dan saya lihat adik Nur Aini Umairah sudah tidak bergerak.

“Dekat tangan arwah ada sehelai baju sukan, mungkin adik Nur Aini Umairah baru dapat baju baru sebab masih dibaluti plastik,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) hari ini.

Katanya, tidak lama selepas itu, pegawai penyiasat tiba dan mereka meminta bantuannya bagi mengangkat jenazah adik untuk siasatan.

“Saya yang pusingkan badan adik ketika itu, saya tidak boleh bayangkan keadaan dia seperti ini.

“Air mata saya hampir menitis kerana saya terbayang adik Nur Aini Umairah anak saya. Selepas selesai polis menjalankan siasatan, saya mengangkat jenazah arwah dan meletakkan dekat pondok pengawal supaya tidak berpanas,” katanya.

Menurut Kamarul Nizam, dia tergerak membantu secara sukarela untuk mengangkat jenazah adik Nur Aini Umairah kerana kebanyakan yang ada di lokasi tidak berani.

“Itulah naluri seorang bapa, walaupun dia bukan anak kandung, tapi bila melihatnya saya tetap rasa seperti anak sendiri,” katanya.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari, Nur Aini Umairah disahkan meninggal dunia selepas dilanggar van yang baru keluar dari sekolah selepas menghantar barang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top