'Saya tiada pun membuat apa-apa keputusan lagi' – Tengku Zafrul

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengakui ada menyertai perbincangan dengan PKR, namun belum membuat keputusan berhubung penyertaannya dalam parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu bagaimanapun berkata, perbincangan berkenaan tidak membabitkan jawatan di peringkat negeri mahupun pilihan raya kecil.

“Sebenarnya, saya tiada membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti walaupun seperti yang disebut Perdana Menteri pernah ada perbincangan mengenai perkara ini dengan pihak berkaitan.

“Saya amat terkejut dengan kenyataan kepimpinan mengenai perkara ini. Malah sejak isu ini mula diketengahkan, saya tidak menerima sebarang panggilan daripada pucuk pimpinan Umno bertanyakan isu sebenar.

“Saya berpegang kepada prinsip apabila saya membuat sesuatu keputusan sudah tentu saya akan membuatnya dengan penuh adab dan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai wujud perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul Tengku ke dalam PKR.

Presiden PKR itu dilaporkan berkata, prinsip parti adalah terbuka kepada mana-mana pemimpin yang mampu memberi sumbangan kepada parti tetapi ia perlu dilakukan dengan cara baik supaya hubungan dengan rakan parti lain termasuk Umno tidak terjejas.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, beliau sudah meninggalkan dunia korporat untuk menjadi anggota pentadbiran Kerajaan dan yakin ia landasan kerjaya yang mampu menyediakan ruang serta peluang untuk berkhidmat kepada rakyat.

Beliau berkata, wadah perjuangan politiknya tertumpu kepada keperluan melaksanakan tugas dengan baik bagi manfaat rakyat.

“Saya percaya rakyat Malaysia sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat ini. Ini termasuk serangan belakang tabir tanpa asas, agenda cah keting dan sebagainya, terutama sekali kerana saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem tetapi usaha kita semua untuk membina rakyat dan negara.

“Ramai maklum isu ini sudah saya ketengahkan sebelum ini dalam konteks Umno Selangor tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu Umno Selangor,” katanya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) itu berkata, beliau akan terus melaksanakan dasar terbaik untuk rakyat di bawah Kerajaan Perpaduan yang mempunyai semangat kerjasama yang tinggi.

Menurutnya, kerajaan ketika ini dapat menerima perbezaan pandangan di kalangan parti komponen tanpa menggugat objektif utama mengemudi negara ke arah kesejahteraan rakyat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top