PETALING JAYA: Pelakon, Sheera Iskandar menetapkan pendirian untuk menolak sebarang tawaran memegang watak antagonis demi memelihara imejnya yang berhijab.
Sheera atau Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar Putra, 41, berkata, sebagai pelakon yang kini lebih matang, dia mahu memikul tanggungjawab dengan hanya memaparkan karakter yang memberikan teladan baik kepada penonton bersesuaian dengan penampilannya yang menutup aurat.
Menurut anak kepada pelakon veteran Aznah Hamid ini, prinsip tersebut menyebabkan dia kini jauh lebih selektif sehingga kurang kelihatan di televisyen dan menganggap rezekinya dalam dunia lakonan mungkin sudah mula beralih arah.
“Apabila usia dan pemikiran kita sudah semakin matang, kita pasti mahu memilih karakter yang mampu memberikan pendedahan yang baik kepada penonton. Saya tidak sanggup untuk menjayakan watak wanita bertudung tetapi hakikatnya dia merupakan seorang yang jahat.
“Sebab itulah saya menganggap rezeki dalam bidang lakonan mungkin setakat ini sahaja dan kini masanya untuk fokus kepada keluarga serta perniagaan. Walaupun tidak lagi aktif berlakon, saya bersyukur kerana peminat masih boleh melihat perkembangan saya menerusi perniagaan di aplikasi TikTok,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Sheera turut berkongsi mengenai kehadirannya ke set penggambaran Skop Productions baru-baru ini bagi memberikan sokongan dan semangat kepada rakan baiknya, Salina Saibi.
Menurut Sheera, kehadirannya ke set berkenaan amat bermakna buat dirinya memandangkan sudah hampir lima tahun dia meninggalkan set penggambaran drama kepolisan popular tersebut.
“Saya datang ke set tersebut sebagai satu kejutan untuk menceriakan dan menenangkan Salina yang kelihatan sangat tertekan selepas membaca tuduhan netizen yang tidak berasas itu. Lagipun, sudah lima tahun saya tidak menjejakkan kaki ke set Gerak Khas, jadi ia menjadi peluang terbaik untuk saya bertemu semula dengan rakan-rakan dan Datuk Yusof Haslam,” jelasnya.
Pertemuan tersebut diaturkan oleh Sheera susulan kontroversi membabitkan seorang pelakon wanita drama polis terkenal yang ditahan pihak berkuasa selepas disyaki positif dadah jenis methamphetamine di sebuah pusat hiburan di ibu negara, baru-baru ini.
Untuk rekod, Sheera Iskandar merupakan antara pelakon wanita utama yang cukup sinonim dengan drama kepolisan jenama Gerak Khas terbitan Skop Productions menerusi watak ikonik sebagai Inspektor Sheera.




