khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kluang: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa beliau seolah-olah menganggap semua negeri bergantung kepada Kerajaan Persekutuan selepas memperoleh kuasa mentadbir negara.
Perdana Menteri turut mempersoalkan tindakan itu, sedangkan beliau hadir ke Kedah pagi tadi bersama-sama rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul bagi membantu membangunkan negeri yang ditadbir oleh Sanusi.
“Pagi tadi saya pergi ke Alor Setar sampai Bukit Kayu Hitam. Saya pergi tolong bangunkan Kedah.
“Kemudian saya baca (di) media, Menteri Besar Kedah, Sanusi, dia ada di Johor dan hentam saya.
“Eh, aku pergi tolong kamu di negeri Kedah tahu tak? Apa jenis macam ini?
“Dahlah tak datang, kita bawa Perdana Menteri Thailand (lagi).
“Ingat senang nak bawa Perdana Menteri Thailand bukan di Kuala Lumpur (tetapi) di belah hulu sana. Kenapa?
“Kita nak tolong rakyat di bawah,” katanya semasa berucap di Grand Finale Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, hari ini.
Terdahulu, Sanusi menyindir Anwar dengan mendakwa beliau seolah-olah menganggap semua negeri bergantung kepada Kerajaan Persekutuan selepas memperoleh kuasa mentadbir negara.
Sanusi berkata, tanggapan sedemikian tidak tepat kerana Kerajaan Persekutuan wujud hasil persetujuan negeri yang menyerahkan sebahagian kuasa melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Perjanjian Kemerdekaan 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau mahu menjaga keseluruhan kawasan di negara ini dan bukannya menumpukan sesebuah kawasan semata-mata.
“Kalau kita tumpu satu kawasan, negara tak maju keseluruhannya. Disebabkan itu saya pergi (menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan dan Pengoperasian Laluan Baharu).
“Tujuannya apa? Kita nak Malaysia semua (kawasan) dibangunkan. Padahal Kedah negeri PAS yang menang.
“Tapi saya tak, saya kira tanggungjawab. Saya mahu membantu rakyat dan saya mahu membantu Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini Pakatan Harapan (PH) menentang satu gabungan yang besar.
Beliau turut mengambil contoh kenyataan kepimpinan PAS yang meminta penyokongnya mengundi UMNO bagi mengelakkan perpecahan undi serta mengukuhkan sokongan gabungan itu menentang PH.
“Tengok PH..semua ‘geng up’ (bergabung) melawan kita satu. PAS pun takpa, padahal PAS dengan UMNO lawan (dan) lawan, tapi asalkan bukan Anwar-PH, PAS kata UMNO pun kita boleh sokong,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




