‘Saya yakin vaksin Covid-19 dapat kurangkan jangkitan’ – Dr M

Langkawi: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru rakyat supaya tampil mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19, berdasarkan keyakinan vaksin itu mampu mengurangkan jangkitan.

Beliau berkata, rakyat tidak perlu meragui keberkesanan vaksin Covid-19 yang sudah diluluskan pihak berkuasa.

“Ada vaksin yang perlu disuntik dua kali, malah ada cuma sekali, tapi vaksin Covid-19 yang diluluskan pihak berkuasa semua sudah ditapis dan berkesan.

“Proses suntikan semua rakyat perlu dipercepatkan kerana penduduk Malaysia kira-kira 33 juta, tidak ramai berbanding Amerika ada 360 juta,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menerima suntikan vaksin Pfizer di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 di Kompleks Sukan Langkawi (KSL), di sini.

Dr Mahathir berkata, penduduk terdiri golongan tua dan mempunyai masalah kesihatan sewajarnya diberi keutamaan untuk menerima suntikan vaksin.

Sementara itu, beliau berkata, proses suntikan juga amat singkat.

“Tak rasa apa pun, (proses suntik) sekejap sangat tak sampai satu minit, lebih lama ketika proses mendaftar sebab kena jawab banyak soalan.

“Sekarang, saya rasa lega,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Scroll to Top