am@hmetro.com.my
Kulim: Penduduk Kampung Sedim, di sini, tidak dapat menahan sedih sebaik melihat jasad seorang kanak-kanak lelaki yang lemas tersangkut pada batu di bawah jambatan di Sungai Sedim, semalam.
Kamal Rizal Md Isa, 53, berkata, dia berasa sayu ketika pergi ke arah kanak-kanak itu dan mengangkatnya ke tebing.
Menurutnya, mangsa ketika itu sudah tidak memberi sebarang reaksi dan dia bersama beberapa rakan cuba memberi bantuan.
“Saya ada anak, masa bawa dia ke tebing, memang tak dapat gambarkan perasaan sedih sebab tengok kanak-kanak itu masih kecil.
“Keadaan air ketika itu sangat deras dan laju… Ini kejadian terburuk yang berlaku membabitkan kejadian kepala air dan ramai nyawa yang terkorban, ” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Menceritakan semula kejadian itu, Kamal Rizal berkata, dia menerima panggilan daripada rakan yang berada di bahagian atas memaklumkan ada mangsa dihanyutkan air deras akibat kepala air.
Katanya, dia bersama rakannya tunggu di bahagian bawah dan sebaik ternampak kanak-kanak itu tersangkut pada batu, dia terus berlari menyelamatkannya.
“Selalunya kalau berlaku kepala air, hujan di bahagian atas bukit tetapi hari ini (semalam) tak tahulah apa yang berlaku waktu itu.
“Kali ni dia mai (datang) mengejut, sebab kat bawah tak hujan tapi mungkin atas hujan la, ” katanya.
Kamal Rizal menasihatkan pengunjung supaya tidak datang mandi ketika cuaca tidak menentu.
Katanya, biasanya penduduk tempatan di situ akan menasihatkan pengunjung supaya tidak mandi jika cuaca tidak menentu dan hujan tetapi berkelah dibenarkan.
Tiga dilaporkan maut selepas dihanyutkan arus deras ketika kepala air melanda Sungai Sedim, di sini, semalam.
Kejadian berlaku di pusat peranginan Sungai Sedim, di sini, dengan tiga mangsa yang maut itu dikatakan ditemui terapung di aliran sungai di pertengahan bukit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




