Scha Alyahya hilang 100,000 pengikut Instagram

Scha Alyahya hilang 100,000 pengikut Instagram

KUALA LUMPUR  – Pelakon Scha Alyahya hilang 100,000 pengikut Instagram selepas gerakan Blockout 2024 dilancarkan dalam kalangan peminat yang memboikot selebriti didakwa tidak peka terhadap isu kezaliman Zionis di Palestin,

Jumlah pengikut pemilik nama lengkap Scha atau Sharifah Nor Azean Mahadzir Al-Yahya, 41, itu merosot kepada 6.5 juta apabila netizen mula menyahikut dan menyekat media sosialnya.

Meluahkan isi hati, Scha berasa kurang setuju dengan pendekatan sebilangan peminat yang bertindak membuta tuli dengan gerakan Blockout 2024.

“Fitnah-memfitnah, permusuhan, dengki-mendengki dan mewujudkan persepsi buruk. Itulah realitinya.

“Kalau niat baik, realisasikan dengan cara atau amalan yang betul. Jangan bersikap personal (peribadi),” katanya menerusi Instagram.

Pelakon kelahiran Sungai Petani, Kedah itu juga berasa kesal dengan bangsa Melayu yang begitu mudah ingin menjatuhkan sesama sendiri.

“Sekarang kan dah bergaduh sesama bangsa sendiri. Ugut sana sini.

“Periksa hati masing-masing sebab saya pun takkan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sama bila berada di situasi sama sebegini,” tambahnya.

Baru-baru ini, nama isteri kepada aktor Awal Ashaari itu disenaraikan dalam gerakan Blockout 2024 selepas didakwa tidak peka dengan nasib rakyat Palestin apabila mempromosikan jenama penyokong Israel.

Selain Scha, suaminya turut menjadi sasaran netizen bersama beberapa selebriti lain termasuk Nadhir Nasar, Nabila Razali, Mira Filzah, Siti Saleha dan Neelofa.

Selepas itu, Scha tampil menegaskan bahawa tiada siapa berhak menghukum pekerjaan dan rezeki seseorang sehingga perlu menghamburkan caci maki bertalu-talu.

Dia juga percaya tiada kuasa untuk menolak rezeki yang telah ditetapkan untuk dirinya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top