WASHINGTON: Rakyat Amerika di luar Washington DC tidak lama lagi boleh mendapatkan pasport edisi terhad yang menampilkan potret Presiden Donald Trump sempena sambutan ulang tahun ke-250 penubuhan Amerika Syarikat (AS), menurut Jabatan Negara.
Sebanyak 27 agensi pasport Jabatan Negara di seluruh negara akan mula menawarkan dokumen perjalanan khas itu bulan depan, selepas sebelum ini ia hanya tersedia di pejabat pasport Washington DC untuk pemohon yang hadir secara terus.
Potret Trump dengan wajah serius dipaparkan pada halaman dalam pasport berkenaan, menjadikannya presiden AS pertama yang masih hidup ditampilkan dalam dokumen perjalanan rasmi negara itu.
Kerajaan AS menyasarkan penerbitan lebih 250,000 pasport edisi khas tersebut yang diberi nama ‘pasport patriot’.
Pasport edisi khas itu merupakan langkah terbaharu yang menampilkan nama dan imej Trump pada bangunan, dokumen serta pelbagai bentuk penghormatan awam yang mudah dilihat.
Imej Trump turut dipaparkan pada syiling peringatan bersalut kemasan emas bagi meraikan penubuhan rasmi negara itu yang kini mula dikeluarkan oleh Percetakan Wang AS.
Terdapat juga usaha untuk meletakkan tandatangan Trump pada semua mata wang kertas baharu Amerika, yang akan menjadi kali pertama tandatangan presiden yang sedang memegang jawatan digunakan dalam wang rasmi negara itu, sekali gus mencetuskan kemarahan pengkritik.
Pejabat pasport di Centennial, Colorado; Chicago; Dallas; Detroit; New Orleans; New York; serta Stamford, Connecticut akan menawarkan pasport Trump itu menerusi acara khas sehari bermula 8 Ogos. Senarai lokasi berkenaan akan diperluaskan dengan penyertaan pejabat pasport lain.
Pemohon yang mahu mendapatkan versi edisi terhad itu perlu hadir sendiri pada tarikh ditetapkan seperti yang dinyatakan di laman web pasport Jabatan Negara. Mereka yang mahu mendapatkan pasport biasa pula perlu membuat permohonan pada hari berbeza.
Pasport peringatan itu menampilkan gambar Trump bersama ukiran tandatangan berwarna emas pada halaman dalam, manakala kulit hadapan memaparkan perkataan ‘United States of America’ dalam cetakan emas tebal di bahagian atas dan ‘Passport’di bahagian bawah, iaitu susunan terbalik berbanding reka bentuk kulit pasport standard semasa.
Selain itu, bendera kecil Amerika bersalut laminasi emas dengan angka 250 dikelilingi bintang turut dipaparkan pada bahagian bawah kulit belakang pasport tersebut.- AGENSI




