Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memaklumkan peguamnya akan mengeluarkan surat tuntutan (LOD) minggu depan berhubung dakwaan terhadapnya yang dibuat dalam satu ceramah DAP berbahasa Cina yang kembali tular.
Akmal berkata, tindakan undang-undang itu diambil susulan dakwaan penceramah terbabit menuduhnya menerima rasuah selain melabel dirinya sebagai seorang yang ekstremis.

“Kamu tuduh aku rasuah, kamu tuduh aku ekstrem, tidak mengapa. Kita lawan di mahkamah.
“Jangan risau, minggu depan akan ada LOD daripada peguam saya. Kita jawab di mahkamah dan kita lawan di mahkamah,” katanya menerusi hantaran pada Sabtu.

Sebelum ini, Akmal memuat naik rakaman video yang memaparkan petikan ceramah seorang pemimpin DAP dalam bahasa Cina yang didakwa mengaitkannya dengan tuduhan ekstremis, menerima rasuah serta menghina namanya.
Beliau turut mendakwa penceramah terbabit menyebut nama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ceramah berkenaan selain menyentuh mengenai keperluan mengekalkan pemimpin Melayu yang liberal serta kebimbangan terhadap penyatuan orang Melayu.
Menurut Akmal, perkara itu bercanggah dengan seruan supaya kempen politik dilakukan secara berhemah tanpa menghina mana-mana pihak.
“Mereka hina orang, hina nama orang dan sebarkan pelbagai fitnah.
“Mereka cakap tidak serupa bikin. Insya-ALLAH, kita jumpa di mahkamah nanti,” katanya.
Sumber: FB Akmal Saleh




