sukhairi@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Usaha Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MMRA) membantu membiayai ujian calitan COVID-19 pelumba Pro Am atau persendirian pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia turut menarik perhatian SCK Racing untuk turut beri sumbangan.
SCK Racing yang juga mempunyai pasukan di Cub Prix, bakal bergandingan bersama MMRA bagi membantu pelumba terbabit menjelang aksi Pusingan 2 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Utara dari 3 hingga 4 April ini.
Berikutan penggunaan kaedah gelembung sukan, saingan Cub Prix perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk melakukan ujian calitan tiga hari sebelum saingan perlumbaan bermula.
“Persatuan mengucapkan terima kasih kepada syarikat SCK Racing yang berbesar hati untuk meringankan beban dan memberi sedikit sumbangan kepada pelumba yang bertanding dan bersaing di Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 dalam kelas Pro Am untuk pusingan kedua ini.
“Sumbangan ini berbentuk wang tunai RM60 (one off) bagi setiap pelumba dalam kelas Pro Am untuk menjalani ujian Rapid Test Kit (RTK-Ag),” kata persatuan berkenaan sambil meminta pelumba Pro Am menghubungi EXCO MMRA, Yasir Said di talian 019-4125767.
Dalam pada itu, MMRA yang dipimpin legenda dua roda negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini turut mengalu-alukan lebih ramai individu ataupun syarikat tampil membantu usaha persatuan bagi meringankan beban pelumba Pro Am di pusingan yang akan datang.
“Dengan bantuan ini, persatuan berharap ia dapat meringankan sedikit beban buat pelumba persendirian yang bertanding di Kejuaraan Cub Prix Malaysia,” katanya.
Kempen 2021 dijadual berlangsung sebanyak 10 pusingan. Selepas Pusingan 2 di SIC Utara, saingan bakal beralih ke Litar Lumba Tangkak, Johor pada 22 hingga 23 Mei sebelum ke Litar Permotoran Terengganu pada 26 dan 27 Jun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




