Sebarang perubahan harga di kantin sekolah perlu dibincang – KPM

Sebarang perubahan harga di kantin sekolah perlu dibincang – KPM

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan sebarang perubahan harga di kantin sekolah perlu dibincangkan serta mendapat persetujuan antara pihak sekolah dan pengusaha kantin.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, perkara itu terkandung dalam buku panduan dan perjanjian penyewaan kantin melalui surat arahan Pelaksanaan Pemantauan Berkala Pengoperasian Kantin Sekolah dan Peringatan Pelaksanaan Kendiri Kantin sekolah di bawah KPM.

“Sebarang perubahan harga makanan di kantin sekolah perlu dibincangkan dan mendapatkan persetujuan bersama oleh pihak sekolah dan pengusaha kantin.

“Sebagai langkah kawalan dan peringatan, KPM telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbir sekolah membuat pemantauan kantin dari semasa ke semasa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Hassan Saad (PN-Baling) berhubung usaha kementerian bagi mengatasi peningkatan harga makanan di kantin sekolah disebabkan harga bahan mentah yang tinggi di pasaran.

Kata Hui Ying, KPM melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Murid di sekolah juga bertanggungjawab memantau pengoperasian kantin bagi memastikan makanan dijual sentiasa bersih, bermutu, berkhasiat, selamat dan mencukupi pada harga berpatutan.

Beliau berkata, jawatankuasa ini sentiasa mengadakan perbincangan dengan pengusaha kantin bagi memastikan peraturan yang terkandung dalam buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat dan Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah dipatuhi.

Katanya, berdasarkan buku panduan itu, menjadi tanggungjawab pihak Pengetua atau Guru Besar memastikan pengusaha kantin menjual makanan mengikut senarai makanan dan minuman dalam sebut harga dilampirkan dalam Perjanjian Penyewaan dan Pengurusan Kantin Sekolah.

“Pihak sekolah hendaklah memastikan penjualan makanan dan minuman di kantin sekolah adalah pada harga yang berpatutan,” katanya.

Menurutnya, KPM turut mengambil maklum dengan peningkatan kos bahan mentah di pasaran dan beberapa aduan diterima berkaitan kenaikan harga makanan di kantin sekolah.

“KPM sentiasa peka dan komited terhadap kebajikan dan kesihatan murid meliputi pelbagai aspek, termasuk perkhidmatan kantin sekolah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top