Biarpun ditubuhkan secara rasmi hanya empat tahun lalu namun Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan dan Perubatan Malaysia (MedicAid) bukanlah asing untuk diperkenalkan dalam bidang kemanusiaan di negara ini.
Apa yang menariknya, MedicAid juga adalah satu-satunya NGO dari Malaysia yang melakukan pembedahan untuk kanak-kanak di Kemboja sejak tujuh tahun lalu.
Dianggarkan, sehingga kini pihak NGO berkenaan juga sudah mengkhatankan lebih 1,000 kanak-kanak Islam di pelbagai wilayah di Kemboja.
Wartawan FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS bersama Presiden MedicAid, DR SYARIZ IZRY SEHAT untuk Kafe Ahad minggu ini.
Apakah MedicAid dan fungsi sebenar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini?
MedicAid ada singkatan daripada Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan dan Perubatan Malaysia. Kita ada dua cabang iaitu kemanusiaan dan perubatan kerana jika dihadkan kepada NGO perubatan sahaja, ia hanya akan disertai oleh golongan doktor-doktor sahaja. Tetapi kita kembangkan kepada bidang kemanusiaan sama supaya sukarelawan boleh melakukan bidang lain juga.
Â
 Â
Bagaimana Dr melihat kewujudan NGO ini dapat membantu dan melancarkan lagi urusan dalam hal kemanusiaan?
Dalam MedicAid kami memiliki ramai pakar perubatan. Kami mempunyai dua orang pakar bius, seorang pakar kanak-kanak, seorang pakar intensivis kanak-kanak, seorang doktor gigi kanak-kanak, seorang pakar tulang dan ramai lagi. Jadi apabila kita bergerak dalam platform yang sama, ia menjadi lebih mudah.
  Â
NGO juga sebenarnya mempunyai banyak kekangan terutama dari segi dana, bagaimana MedicAid mengatasi hal itu?
Sebahagian besar daripada dana kami adalah daripada agihan zakat dan sumbangan dana awam. Kami semua ‘part time’ tidak bergaji dan MedicAid tidak pernah menggajikan sesiapa selama ini. Apabila terbabit dalam sesuatu misi, kami semua akan mengambil cuti tanpa gaji.
  Â
Misi bantuan perubatan dan kemanusiaan di luar negara sememangnya diakui agak mencabar tetapi misi dalam negara juga ada halangannya sendiri. Boleh Dr kongsikan mengenai pengalaman menarik sepanjang menyertai misi MedicAid?
Secara amnya perkhidmatan perubatan Malaysia berada pada tahap terbaik, antara Top 10 di seluruh dunia. Namun ada aspek perubatan tertentu yang masih ada kekangan contohnya berkhatan.
Saya masih ingat pada misi pertama kami ke Sabah sebelum ini ke daerah kecil Pagalungan yang terletak di daerah Nabawan. Untuk ke kawasan berkenaan kami perlu menaiki kereta dari Keningau ke Nabawan sejauh 45 kilometer. Untuk ke Pagalungan, perlu melalui jalan biasa selama satu jam, jalan balak selama satu jam dan menaiki bot pula menyusuri sungai sampai ke sempadan Kalimantan daerah kecil Pagalungan. Ia bukan perjalanan yang mudah kerana semua peralatan termasuk mesin-mesin berkaitan perlu diangkut sendiri. Namun saya tekankan kepada semua sukarelawan, “We Go Where People Don’t Go” kami ada kepakaran, jadi kami akan ke sana.
Ini kerana masyarakat Islam di sana berdepan banyak kekangan iaitu bandar yang terdekat bagi mereka adalah Keningau dan kos pengangkutan perjalanan sehala sekurang-kurangnya RM300. Selain itu, klinik kesihatan di Pagalungan juga ada kalanya doktor yang bertugas tidak memiliki kepakaran berkhatan.
Â
 Â
Kalau kita lihat, untuk proses berkhatan pun, perlukan sukarelawan. Sampai begitu?
Demografi sangat berbeza. Walaupun saya, saya boleh kata dah agak selalu buat sebab saya sudah ke Kemboja 7 tahun. Saya bagi contoh, hari pertama kita pergi kawasan itu, 30 peratus daripada mereka berusia 15 tahun ke atas. Jadi perlukan bantuan ramai.
Saya pun terkejut. Luar biasa. Bila dah berlaku macam tu, ubat bius yang digunakan sudah dua atau tiga kali ganda, lari kiraan. Berterabur kena cari balik ubat tambahan, jadi sekarang kita sudah semakin baik.
Â
 Â
Sejauh mana cabaran dalam negara dan luar negara sepanjang misi Medic Aid setakat ini?
Sangat berbeza. Kita bersyukur sangat kalau dalam negara kita sekurang-kurangnya Kilinik Kesihatan itu senang kita pergi ke situ walaupun tak semestinya ada doktor tapi ada akses untuk sampai.
Kalau di Kemboja, di hospital kontena. Ini contoh lima tahun lalu, kemarau. Salah satu sumber elektriknya daripada empangan hidroelektrik. Jadi, ada catuan elektrik. Jadi bila tengah merawat dan ada prosedur, waktu itu ada catuan elektrik.
Ketika catuan elektrik tak stabil. Pernah kami tengah bedah pesakit, tiba-tiba elektrik terputus. Bayangkan macam mana kami nak teruskan prosedur. Terpaksa gunakan lampu daripada telefon bimbit.
Â
 Â
Selain pedalaman Malaysia dan Kemboja, ke manakah destinasi MedicAid selepas ini?
Insya-Allah selepas ini kami akan ke Mindanao untuk misi bantuan berkhatan di kawasan bergolak itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd