syafil.syazwan@hmetro.com.my
PENGORBANAN seorang anak demi melihat kebahagiaan insan tersayang tiada tolok bandingnya.
Begitu mahu dibuktikan penyanyi dan pelakon bakat baharu, Azeva Natassha, 25, apabila keputusan untuk melangkah masuk ke bidang seni bukan didorong semata-mata untuk mengejar populariti.
Sebaliknya, keputusan untuk hala tuju kehidupan serta kerjayanya terbit daripada rasa kasih yang mendalam terhadap ibunya, Datuk A Aida.
Membuka cerita peribadinya, anak kepada A Aida dan penyanyi, Ameng Spring ini mengakui pernah berada di fasa enggan mengikut jejak langkah kedua ibu bapanya.
Pernah menolak mentah-mentah permintaan ibunya untuk merakamkan lagu sewaktu berusia 19 tahun, Azeva mengakui pendiriannya berubah 180 darjah selepas ibunya diuji dengan masalah kesihatan kritikal.
“Sewaktu umur saya 19 tahun, mama pernah bawa saya ke studio rakaman. Ketika itu mama cakap hanya mahu uji vokal dan menyanyi biasa sahaja.
“Namun, apabila sudah berada dalam studio, mama suruh buat rakaman betul-betul. Disebabkan saya memang tidak berminat dan sering ditegur mengenai mutu vokal, saya rasa gementar lalu memilih untuk mengalah dan terus keluar dari studio.
“Bagaimanapun, pandangan saya terhadap dunia seni berubah selepas keluarga kami diuji hebat. Mama saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), koma selama tiga hari dan terlantar di hospital selama dua bulan.
“Malah, doktor pernah meminta kami sekeluarga bersiap sedia kerana peluang untuk Mama selamat hanya tinggal kurang satu peratus sahaja,” katanya.
Menurut Azeva, fasa getir itu menjadi titik tolak yang membawanya kembali muhasabah diri mengenai pengorbanan seorang ibu.
“Pada saat itu baru saya sedar, selama saya hidup, apa sahaja yang pernah saya lakukan untuk mama? Tiada apa-apa selain menghabiskan duitnya sahaja.
“Dari situ saya berdoa kepada Tuhan, sekiranya mama ‘dikembalikan’ kepada kami, saya berjanji akan menuruti segala kemahuannya,” katanya.
Demi menunaikan janji, Azeva rela melepaskan impian peribadi termasuk menangguhkan pengajian dalam bidang perakaunan demi memberi fokus kepada apa yang dihajati ibunya selagi insan kesayangannya masih bernyawa.
Terbaharu, Azeva membuktikan kesungguhannya dengan melancarkan single sulung berjudul Tanpa Rasa Jemu. Lagu berkenaan mendapat sentuhan istimewa daripada ibunya yang bertindak sebagai penulis lirik.
“Lirik lagu ini dihasilkan oleh mama. Mama seorang yang sangat romantik dan setiap bait lirik ciptaannya memang mendalam serta menusuk jiwa.
“Walaupun saya belum ada pengalaman luas dalam bidang nyanyian, saya bersyukur dapat menyampaikan lagu pertama yang mana liriknya ciptaan mama sendiri.
“Malah, mama juga bertindak sebagai pengurus saya. Saya percaya 100 peratus kepada mama untuk menguruskan kerjaya saya kerana dia sudah lama dalam industri dan lebih tahu apa yang terbaik,” katanya.
Bukan sahaja vokal, bakat lakonan Azeva juga bakal diuji apabila filem sulung lakonannya berjudul Bisikan Nafsu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 1 Oktober depan.
Menurut Azeva, dia sempat berguru dengan pelakon veteran terkemuka, Fauziah Nawi bagi mendalami ilmu lakonan sebelum beraksi di hadapan kamera.
“Sebelum ini cara percakapan saya agak mendatar seperti robot. Ibu Fauziah Nawi banyak mengajar saya bagaimana untuk ‘hidup’ di hadapan kamera, bermain dengan mimik muka dan emosi.
“Mengenai lakonan pula, mama sebenarnya sangat memilih. Dia mahu memastikan watak yang saya bawa sesuai dan mahu saya belajar berlakon dengan betul dahulu.
“Saya tidak mahu orang luar menganggap saya mendapat peluang kerana kelebihan keluarga (kabel). Disebabkan itu, saya dengan rendah hati sedia belajar dari bawah,” katanya.
Menutup perbualan, Azeva berharap kehadiran dan pertaruhannya dalam industri hiburan dapat diterima baik oleh peminat.
“Saya hanya mahu melihat mama gembira, tersenyum dan menikmati hidup selepas lebih 30 hingga 40 tahun dia bekerja keras. Selagi ada rezeki dan kemampuan, saya akan buat yang terbaik demi mama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

