Selamat Hari Malaysia. Itu ucapan yang diungkapkan setiap kali tiba tarikh 16 September saban tahun dan syukur alhamdulillah, kita menyambut Hari Malaysia kali ke-63 hari ini. Hari Malaysia bukan sekadar tarikh dalam kalendar kenegaraan, namun jauh daripada itu ia sebagai ruang untuk kita menghayati kembali makna kebersamaan, perpaduan, pengorbanan dan tanggungjawab membina sebuah negara yang dihuni masyarakat berbilang agama, bangsa, bahasa serta budaya.
Namun, selepas lebih enam dekad pembentukan Malaysia, persoalan yang wajar kita tanyakan ialah apakah makna sebenar Hari Malaysia kepada kita hari ini? Adakah ia sekadar sambutan rasmi, perarakan, kibaran Jalur Gemilang dan ucapan tentang perpaduan? Atau lebih jauh daripada itu, Hari Malaysia seharusnya menjadi ruang untuk kita melakukan muhasabah tentang bagaimana negara ini hendak kita bina untuk generasi akan datang?
Dalam konteks ini gagasan ‘membina negara dengan nilai ihsan’ menjadi signifikan. Ihsan ialah nilai yang meletakkan manusia bukan sekadar sebagai rakyat mempunyai hak, tetapi sebagai insan yang mempunyai amanah dan tanggungjawab terhadap Allah SWT, sesama manusia dan alam sekeliling. Sesebuah negara yang maju tanpa ihsan mungkin mampu membina bangunan tinggi, tetapi belum tentu mampu membina jiwa manusia yang tinggi.
Al-Quran memberikan asas yang sangat jelas tentang pembinaan kehidupan masyarakat melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 90 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kita berlaku adil dan berbuat ihsan serta memberikan bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang perbuatan keji, kemungkaran dan kezaliman. Dia memberi pengajaran kepada kamu agar kamu mengambil peringatan”.
Ayat di atas perlu direnung dalam konteks pembinaan negara. Allah SWT menyebut al-adl (keadilan) dan al-ihsan (kebaikan) secara berasingan. Keadilan memastikan setiap manusia mendapat haknya manakala ihsan membawa manusia melangkah lebih jauh dengan melakukan kebaikan walaupun tidak semestinya diwajibkan. Dengan kata lain, keadilan menjadikan kita tidak menzalimi orang lain, manakala ihsan mendorong kita membantu, memaafkan, menyantuni dan memberikan manfaat kepada orang lain.
Malaysia dibentuk dalam suasana masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang. Kita berbeza daripada segi kaum, agama, bahasa, budaya, negeri dan tradisi. Perbezaan ini bukan sesuatu yang perlu ditakuti. Sebaliknya, ia sebahagian daripada realiti kehidupan yang perlu diurus dengan kebijaksanaan. Kepelbagaian ini bukan alasan untuk kita saling menjauh, sebaliknya ruang untuk membina kehidupan bersama yang lebih matang.
Hal ini seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa serta bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang paling bertakwa”.
Jika ditinjau dengan lebih mendalam, ayat ini memberikan satu prinsip besar dalam kehidupan bermasyarakat. Kepelbagaian manusia bukan untuk menjadi sebab kepada permusuhan, tetapi untuk taaruf iaitu saling mengenali dan memahami.
Konsep taaruf ini amat relevan dengan realiti Malaysia. Kita tidak mungkin membina negara bersama sekiranya kita hanya mengenali kelompok sendiri, tetapi sentiasa curiga terhadap kelompok lain. Perpaduan tidak bermaksud semua orang mesti mempunyai pandangan, budaya atau latar belakang yang sama. Perpaduan bermaksud kita mampu hidup bersama dalam perbezaan, menghormati hak masing-masing dan meletakkan kepentingan negara di atas persengketaan yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
Dalam konteks ini, ihsan memainkan peranan yang amat penting. Ihsan mengajar kita supaya tidak melihat perbezaan sebagai alasan untuk merendahkan orang lain. Kita boleh berbeza pandangan tanpa menghina. Kita boleh berbeza pilihan politik tanpa bermusuhan. Kita boleh berbeza agama tanpa menafikan hak orang lain untuk hidup dengan aman. Masyarakat yang matang bukan masyarakat yang tidak mempunyai perbezaan, tetapi masyarakat yang tahu bagaimana mengurus perbezaan dengan adab.
Maka, semangat Hari Malaysia pada zaman digital ini semestinya turut diterjemahkan melalui ihsan dalam komunikasi. Kita perlu kembali kepada hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Seorang Muslim ialah orang yang Muslimin selamat daripada gangguan lidah dan tangannya”. Hadis ini sangat relevan dalam era media sosial. Hari ini, ‘tangan’ seseorang bukan hanya tangan yang melakukan perbuatan fizikal. Jari yang menaip komen, berkongsi berita palsu, menyebarkan gambar yang memalukan atau menghina orang lain juga boleh menjadi instrumen kemudaratan. Seseorang mungkin tidak memukul orang lain secara fizikal, tetapi dia boleh mencederakan maruah manusia melalui kata-kata.
Selain itu, nilai penting yang berkait rapat dengan ihsan ialah amanah. Kehidupan bernegara memerlukan amanah pada setiap peringkat. Pemimpin diberikan amanah untuk mengurus kuasa dan sumber negara. Penjawat awam diberikan amanah untuk memberikan perkhidmatan. Peniaga diberikan amanah untuk menjalankan perniagaan secara jujur. Ibu bapa diberikan amanah untuk mendidik anak. Apabila amanah dilaksanakan dengan baik, kepercayaan masyarakat akan terbina. Sebaliknya, apabila amanah dikhianati, kesannya bukan hanya kepada individu, tetapi kepada seluruh masyarakat. Rasuah, penyalahgunaan kuasa, penipuan, diskriminasi dan ketidakjujuran akhirnya menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi dan sesama manusia.
Kesimpulannya, Hari Malaysia perlu menjadi lebih daripada sekadar peringatan sejarah. Ia mesti menjadi momentum untuk bertanya kepada diri sendiri apakah sumbangan kita kepada negara? Mungkin kita tidak mampu mengubah dasar negara. Mungkin kita tidak mempunyai kuasa. Namun, kita mempunyai ruang untuk melakukan kebaikan dalam lingkungan kehidupan masing-masing. Kita boleh menjadi jiran yang lebih baik. Kita boleh menjadi pekerja yang lebih amanah. Kita boleh menjadi majikan yang lebih adil. Kita boleh menjadi ibu bapa yang lebih bertanggungjawab. Kita boleh menjadi pengguna media sosial yang lebih beradab.
Perubahan kecil ini, apabila dilakuan oleh jutaan rakyat akan membentuk perubahan yang besar. Kita mungkin berbeza agama, kaum, bahasa, budaya dan pandangan. Namun, kita berkongsi satu tanah air dan satu masa depan. Maka, semangat Hari Malaysia hendaklah diterjemahkan dalam satu kesedaran bersama bahawa membina negara adalah amanah yang tidak boleh dipikul oleh seorang atau satu kelompok sahaja.
Semangat Hari Malaysia akhirnya bukan tentang siapa yang paling kuat melaungkan kecintaan kepada negara, tetapi siapa yang paling bersedia menyumbang kepada kebaikan negara. Semoga tanah air ini terus menjadi ruang untuk kita hidup bersama dalam keamanan, saling menghormati dalam kepelbagaian dan berlumba-lumba melakukan kebaikan. Ini kerana akhirnya, sebuah Malaysia yang hebat bukan hanya dibina dengan pembangunan dan kemajuan, tetapi dengan manusia yang mempunyai ihsan.
Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa
© New Straits Times Press (M) Bhd

