Segera anjur kem latihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Haimau Malaya team

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya nampaknya tidak boleh memperjudikan nasib dengan mengharapkan belas ihsan pasukan lain untuk menunda aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menegaskan tidak akan campur tangan.

Sebaliknya, AFC memberi sepenuh tanggungjawab kepada semua pasukan termasuk daripada Kumpulan G membabitkan lima pasukan iaitu Thailand, Indonesia, Vietnam, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia mencapai persetujuan secara bersama. Difahamkan ketika ini, empat negara setuju mengubah aksi ke Jun ini dengan memilih UAE sebagai tuan rumah yang akan dijalankan secara karnival.

Bagaimanapun, Vietnam masih ‘membisu’ dan difahamkan negara terbabit berhasrat menjadi tuan rumah, sekali gus menyebabkan kemungkinan baki aksi kelayakan tetap dilangsungkan pertengahan Mac ini berikutan kegagalan mencapai kata sepakat.

Justeru, skuad kendalian Tan Cheng Hoe tidak boleh terus mengharap penundaan, sebaliknya harus segera mengadakan kem latihan skuad negara bulan ini selepas kali terakhir Harimau Malaya menjalani latihan pada November 2019 lalu.

Tindakan itu dilihat perlu sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan aksi Mac ini hanya berbaki sebulan lebih.
Menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, pihaknya memberi tempoh sehingga 15 Februari ini untuk semua pasukan mencapai keputusan.

“Kita takkan campur tangan. Semua pasukan kena bincang sesama mereka dalam kumpulan untuk putuskan bermain mengikut jadual bulan depan (Mac) atau tunda ke Jun,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam. Malah katanya, persetujuan perlu diambil secara bersama dan bukan mengikut majoriti.

“Tak boleh buat macam itu (buat keputusan secara majoriti) kerana setiap negara ada hak menjadi tuan rumah. Kena faham, mungkin ada negara dalam baki perlawanan jadi tuan rumah, jadi mereka ada hak.

“Sebab itu kena bincang bersama dan putuskan nak tunda atau tidak, dan kalau tunda siapa dipilih untuk jadi tuan rumah. Kalau satu pasukan tak setuju, kita kena ikut jadual asal main Mac ini,” katanya.

Mengikut perancangan asal, Malaysia dijadual menentang UAE di Dubai pada 25 Mac sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac diikuti Thailand di Bangkok Jun ini. Namun, UAE yang mempunyai baki tiga aksi di halaman sendiri mendapat sokongan tiga pasukan kecuali Vietnam yang hanya ada satu sahaja baki aksi di tempat sendiri.

Selepas lima perlawanan, Malaysia menduduki tempat kedua Kumpulan G dengan kutipan sembilan mata sementara pendahulu Vietnam mengumpul 11 mata diikuti Thailand ketiga dengan lapan mata. UAE di kedudukan keempat mengumpul enam mata dengan kurang satu perlawanan.-Hmetro

Malay News
Sports Desk