Segera bentuk pelan pulihkan PKS

Segera bentuk pelan pulihkan PKS

illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini perlu segera mencari pelan dan strategi baharu untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dilihat paling terjejas teruk berikutan penutupan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang, berkata Kabinet baharu perlu melihat segera situasi kronik yang melanda PKS dan perindustrian mikro hanya kini semakin terdesak selepas langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terlalu lama.

Katanya, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang baharu iaitu Tan Sri Noh Omar perlu segera mencari jalan untuk membantu PKS memandangkan sejumlah 1.2 juta PKS hari ini sudah terjejas teruk.

“Dalam tempoh PKP ini, pihak yang paling teruk adalah PKS dan industri mikro dan kami mendapati lebih 49 peratus industri ini juga gagal dan tidak lagi mampu bertahan.

“Kabinet baharu perlu mencari jalan termasuklah mengadakan pelan serta strategi baharu untuk membantu kerana industri inilah yang menawarkan pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia. Apabila perniagaan ‘kaput’ maka lebih ramai yang akan kehilangan pekerjaan,” katanya kepada BH, sebagai reaksi pengumuman Kabinet baharu.

Michael berkata, pihaknya juga sedia untuk bertemu dengan Noh pada bila-bila masa untuk menjelaskan keadaan sebenar yang dialami PKS dan industri mikro hari ini.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA Selatan), Louis Ooi, berkata beliau mengharapkan konsep Keluarga Malaysia yang dinyatakan oleh Ismail Sabri akan terus diterapkan dalam penubuhan Kabinet baharu demi kesejahteraan dan kestabilan Malaysia.

“Konsep Keluarga Malaysia perlu direalisasi dan menjadi latar belakang bekerjasama antara semua parti politik tak mengira ideologi, kaum, dan agama. Kestabilan politik amat penting agar kita semua dapat memenangi COVID-19 sekali lagi,” katanya.

Beliau juga berkata, SAMENTA juga berharap agar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ditingkatkan dengan lebih pantas dengan kerjasama rentas kementerian dan politik.

“Tiba masa untuk meningkat imunisasi dalam kalangan mereka yang berusia 14 ke 17 tahun kerana ini akan mempercepatkan kadar imuniti rakyat Malaysia, contohnya Lembah Klang kini sudah mencapai lebih 88 peratus golongan dewasa mendapat dua dos vaksin namun kadar vaksinasi semakin lambat.

“Dengan lengkapnya pentadbiran kerajaan dan kerjasama pelbagai pihak, SAMENTA mahukan tindakan segera dalam program vaksinasi ini termasuklah mengkaji kemasukan kumpulan muda dalam skim imunisasi negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top