Georgetown: Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang mengambil masa lebih sejam bagi membersihkan tumpahan cecair kimia di sebuah makmal pusat pengajian tinggi, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 3.28 petang, dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru dan BBP Jalan Perak dikejar ke lokasi kejadian.
“Kita mendapat maklumat berlaku tumpahan cecair kimia dipercayai asid acrylic di makmal Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM).
“Ketika di lokasi didapati sebanyak 50 mililiter (ml) cecair dalam sebuah bekas tumpah di atas lantai makmal berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, anggota bomba melakukan pembersihan lantai makmal berkenaan dengan mengumpul sisa cecair dan dimasukkan ke dalam bekas khas.
Katanya, anggota turut melakukan pembersihan menggunakan serbuk soda di kawasan tercemar selain memastikan aliran udara yang baik.
“Tiada mangsa yang terbabit dalam kejadian berkenaan dan operasi tamat pada 5 petang,” katanya.