am@hmetro.com.my
Seremban: Dua daripada geng curi kabel ditahan polis selepas melarikan diri selama sejam dari Rahang, di sini, ke Kampung Kondok, dekat Nilai, tengah hari semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, suspek yang menaiki kereta Honda Civic FD akhirnya terbabas dan melanggar pokok sebelum dua lelaki berusia 30-an itu ditahan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kejadian berlaku ketika kenderaan peronda polis (MPV) dari Balai Rahang melakukan tugasan.
“Ketika melalui Jalan Seremban-Tampin berhampiran Industri Senawang, anggota cuba menahan kereta jenis Honda Civic FD warna kelabu yang mencurigakan.
“Suspek bagaimanapun melarikan diri melalui Plaza Tol Senawang ke Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) menghala ke selatan sebelum keluar di Plaza Tol Labu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ketika suspek keluar dari Tol Labu, kereta itu berlanggar dengan sebuah kenderaan orang awam sebelum ia terbabas dan terkena MPV yang mengejar mereka di bahagian hadapan kiri menyebabkan mengalami sedikit kerosakan.
“Seterusnya suspek menghala ke S2 Heights dan masuk ke Jalan Labu. Apabila sampai berhampiran Kampung Kondok, jam 2.30 petang kenderaan suspek terbabas dan dikatakan melanggar pokok.
“Lima suspek dilihat keluar daripada kenderaan itu dan cuba melarikan diri, namun kami berjaya menahan dua daripadanya. Pemeriksaan tubuh badan dilakukan, tetapi tiada menjumpai barang salah.
“Pemeriksaan kenderaan suspek menjumpai pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk mencuri kabel antaranya, pemotong kabel, tukul, kuku kambing dan baju biru oren tertulis TM selain wayar tembaga yang siap dibakar,” katanya.
Jelas beliau, semakan terhadap identiti kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 25 dan 35 rekod jenayah selain didapati positif dadah jenis methaphetamine.
“Siasatan awal mendapati suspek sudah lama bergiat aktif mencuri kabel di sekitar Seremban dan Lembah Klang. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




