mohamadridzuan@hmetro.com.my
Foto Genes Gulitah
Kuala Lumpur : Datuk Awie diiktiraf Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai artis pertama yang mengetuai persembahan tiga kumpulan rock ikonik negara iaitu Wings, Search Kid Din dan Dragon Malaya dalam sebuah konsert tahun ini.
Awie, 57, menerima sijil pengiktirafan itu daripada wakil MBOR, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah selepas Konsert Triad yang membabitkan tiga kumpulan itu di Zepp Kuala Lumpur, di sini, malam semalam.
Dalam konsert yang dihadiri lebih 2,400 penonton itu, Awie menyanyikan 25 buah lagu iaitu Wings sebanyak lapan lagu, Dragon Malaya (tujuh lagu) dan Search Kid Din sebanyak 10 lagu.
“Hasil kerja keras 40 tahun dalam industri muzik. Tiada lain daripada ingin mencipta sebuah sejarah.
“Sejarah ini saya kongsikan bersama Wings, Search dan Dragon Malaya. Ini sejarah yang tidak boleh dijual beli. Terciptanya sejarah ini atas usaha kental mereka semua,” katanya.
Awie berkata, pengiktirafan yang diterima cukup berharga baginya.
“Anda menjadi saksi wujudnya sekeping sijil ini. Selepas ini sejarah lebih besar akan tercipta,” katanya.
Antara lagu yang dinyanyikan Awie semalam ialah Jerangkung Dalam Almari, Lipas Kudung, Sekeping Kertas Bermaruah dan Sejati bersama Wings.
Bersama Dragon Malaya, dia mempersembahkan lagu Rentap, Kuda Tiga Kaki dan Maya, manakala bersama Search, Awie mendendangkan Nur Nilam Sari, Pasti, Diari Habil & Qabil, Rock & Roll Pie dan Kejora.
“Mereka yang masih lagi bersama, bagi saya kumpulan Search adalah pemuzik legenda sebenar, ‘the fathers of rock’.
“Saya di atas pentas ini tidak masuk, tidak keluar dan saya tidak berseorangan pun kerana bersama pemuzik serta penyanyi latar yang sentiasa mengiringi persembahan saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd