bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Semua sektor ekonomi termasuk sektor perkilangan terus beroperasi di enam daerah di Selangor yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kecuali aktiviti tertentu yang disenarai di bawah senarai negatif prosedur operasi standard (SOP) Am PKP.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dalam kenyataan berkata, SOP Am PKP adalah berdasarkan SOP PKP sedia ada, kecuali aktiviti makan di restoran tidak dibenarkan.
“SOP ini juga boleh diakses di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu www.mkn.gov.my. Syarikat perlu mematuhi SOP Am PKP dan tertakluk kepada tatacara bekerja dari rumah (BDR) sedia ada iaitu hanya 30 peratus kakitangan pengurusan boleh hadir ke pejabat seperti biasa tanpa sekatan waktu bekerja, manakala kehadiran pekerja operasi atau sokongan ditentukan majikan mengikut budi bicara,” kata kenyataan itu.
MITI menyeru industri terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan kejayaan mengawal penularan wabak COVID-19.
Katanya, aktiviti penguatkuasaan akan dipertingkat agensi penguat kuasa berdasarkan penilaian sistem amaran awal Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) yang mampu mengesan lokasi berisiko tinggi yang menjadi punca penularan COVID-19.
“Langkah ini lebih bersasar dan efektif untuk mencegah penularan COVID-19 dalam komuniti berbanding langkah penutupan secara keseluruhan.
“Mana-mana syarikat yang tidak mematuhi SOP akan dikenakan tindakan perundangan termasuk penutupan operasi syarikat untuk tempoh tertentu,” katanya.
Katanya, semua agensi kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mengambil langkah proaktif dan bersama-sama berganding bahu dengan Kerajaan Pusat untuk meningkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi keselamatan bersama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




