KUANTAN – Sektor pelancongan di Pahang diyakini dapat hidup semula dengan cepat selepas usaha memulihkannya dibuat secara berterusan.
Pengurus Kanan Penggalakan Promosi Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim berkata, melihat pencapaian negeri itu yang merupakan antara lokasi pelancongan kedua menarik di Malaysia, pihaknya berharap sektor pelancongan dapat kembali aktif seperti dahulu.
Walaupun bilangan pelancong menurun akibat penularan Covid-19 namun ia masih memberangsangkan apabila merekod sebanyak 7.43 juta pelancong sepanjang tahun lepas.
“Angka ini adalah penurunan sebanyak 46.87 peratus berbanding tahun sebelumnya (2019) iaitu seramai 13.99 juta orang. Kerajaan Pahang telah kehilangan angka ketibaan pelancong seramai 6.557 juta orang sepanjang tahun 2020 yang lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Kamaruddin, pihak hotel dan pengusaha produk diharap dapat menjalinkan kerjasama dengan agensi pelancongan mengenai pakej baharu dengan menawarkan harga menarik pada pelancong.

“Lebih 26 destinasi pelancongan terkenal di Pahang mampu menarik kunjungan para pelancong.” kata Kamaruddin lagi.
Dalam pada itu, menurutnya, kerajaan negeri juga akan menggandakan usaha promosi secara dua hala dengan negeri-negeri berjiran yang tersenarai dalam kategori zon hijau Covid-19.
Ia sejajar dengan perlaksanaan Gelembung Perjalanan Pelancongan Bersasarkan Domestik yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.
Selain itu, menurut Kamaruddin, kira-kira 8, 000 orang berkunjung ke Menara Kuantan 188 sempena Program ‘This Is Pahang’ Business Networking At The Peak anjuran Tourism Pahang sepanjang empat hari bermula 1 April lalu.
Program tersebut mendapat kerjasama pengendali industri pelancongan seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pahang, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Pahang Chapter.
Pelbagai usaha dipergiat bagi mempromosi dan memberi pendedahan kepada agensi pelancongan mengenai produk serta destinasi pelancongan di Pahang bagi menarik minat pengunjung domestik.
Kamaruddin berkata program berkenaan mendapat sambutan dan ia bertujuan mengembalikan serta memulihkan kembali sektor pelancongan di Pahang yang terkesan ekoran penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.- MalaysiaGazette




