Jakarta: Sekurang-kurangnya 20 pendaki termasuk warga Singapura dipercayai cedera dan terkandas selepas Gunung Dukono meletus di timur Indonesia, mendorong pihak berkuasa mencari dan menyelamat (SAR) melancarkan operasi pemindahan pada Jumaat.
Ketua Pejabat SAR Ternate, Iwan Ramdani berkata Pusat Pemerintah Basarnas menerima isyarat kecemasan SOS daripada peranti Garmin kira-kira 9.56 pagi waktu tempatan dari kawasan Gunung Dukono di Kabupaten Halmahera Utara, Maluku Utara.
Beliau berkata isyarat SOS itu kemudian disahkan ketua Desa Mamuya berhampiran gunung berapi berkenaan, yang memaklumkan sekumpulan pendaki mengalami kecederaan selepas terjejas akibat aktiviti gunung berapi itu.
“Susulan insiden itu, Pasukan Penyelamat dari Pos SAR Tobelo bersama anggota SAR lain segera dikerah ke Pos Pemerhatian Gunung Dukono,” katanya dalam satu kenyataan.
Iwan berkata pasukan SAR kemudian menyelaras gerakan dengan Polis Halmahera Utara dan Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD), sebelum bergerak ke lokasi bagi memindahkan mangsa sambil mengambil kira keadaan cuaca di kawasan berkenaan.
Setakat laporan ini ditulis, kesemua 20 mangsa masih menunggu untuk dipindahkan, manakala butiran mengenai pendaki yang cedera belum dikeluarkan.
Gunung Dukono, yang terletak di utara Pulau Halmahera, Maluku Utara merupakan antara gunung berapi paling aktif di Indonesia dan kerap mengalami letusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




