Pelajar parah jadi mangsa langgar lari, polis buru pemandu kereta

Pelajar parah jadi mangsa langgar lari, polis buru pemandu kereta

am@hmetro.com.my

Padang Besar : Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun parah selepas motosikal ditunggangnya bertembung kereta dalam kejadian di Jalan Semadong – Beseri, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, kejadian berlaku pada jam 2.30 petang ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beseri menghala ke rumahnya di Kampung Jalan Kaki Bukit.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kemalangan berlaku, mangsa sedang menunggang motosikal melalui Jalan Bukit Merah, Semadong.

“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah kereta dipercayai masuk ke simpang secara tiba-tiba menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak.

“Mangsa melanggar bahagian belakang kereta berkenaan sebelum terjatuh di atas jalan. Pemandu kenderaan dipercayai terus meninggalkan lokasi sejurus selepas kemalangan dan identiti serta nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, akibat pelanggaran itu, mangsa dilaporkan mengalami pendarahan dalam kepala, luka pada bahagian dagu serta patah kaki kanan.

Beliau berkata, remaja terbabit kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama pemilik kereta berkenaan serta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian agar tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Norsyahirah Salehudin di talian 016-5876810 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top