fatin.farhana@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Sering keluar dan memuat naik gambar bersama dalam laman sosial, penyanyi, Daiyan Trisha dikaitkan menjalin istimewa dengan abang kepada pelakon Ummi Nazeera iaitu Nazreem Musa.
Bagaimanapun, Daiyan menafikannya, namun, mulai rapat dengan pempengaruh fesyen itu sejak dua tahun lalu.
“Saya rapat dengan Nazreem, dia adalah kawan baik saya. Kami selalu keluar bersama, terutamanya menghadiri acara fesyen memandangkan Nazreem seorang pempengaruh fesyen.
“Jadi, di situlah timbul persepsi kami ada hubungan istimewa, sedangkan hanya berkawan baik.
“Saya sayang dan selesa dengan Nazreem, namun, hanya sebagai kawan. Hubungan kami tidak menerbitkan perasaan lain, memandangkan sudah berkawan baik sejak dua tahun lalu.
“Namun, saya tahu ramai keliru melihat kami bersama. Namun, kami okay sahaja. Ada juga kami bergurau soal perkara ini, hanya gelak sahaja,” katanya kepada BH Online.
Berkongsi statusnya, Daiyan atau nama sebenarnya, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin menegaskan masih sendiri dan mahu memberi tumpuan kepada kerjayanya.
“Saya masih single sebab fokus pada kerjaya. Sudah tentu saya pernah menjalinkan hubungan, tidaklah sepanjang 10 tahun ini saya single sahaja.
“Saya sukakan privasi, tak suka berkongsi. Walaupun saya suka privasi, tetapi saya tidak berahsia. Macam peminat mungkin tahu saya menjalinkan hubungan dengan seseorang atau tidak.
“Contohnya, mereka boleh baca tulisan saya dan sebagainya. Namun, sekarang saya single dan mahu fokus pada karier,” katanya yang tidak meletakkan sasaran usia untuk berkahwin.
Daiyan ditemui pada majlis pelancaran super telefilem Rompak di Finch @ KL, The Westin Hotel, baru-baru ini.
Selain Daiyan, super telefilem yang bakal menjalani penggambaran pada Februari depan itu turut dibintangi oleh MK K-Clique dan Chubb-E.
Berkongsi lanjut, Daiyan teruja bakal menjayakan watak Nadiah yang memerlukannya berimej muslimah.
“Saya dapat tawaran sekitar Oktober, tahun lalu. Saya merasakan projek super telefilem ini menarik, jadi saya terus menerima. Karakter berbeza dan tidak pernah dibawa.
“Dan ini juga adalah karakter pertama memerlukan saya bertudung. Mungkin agak mencabar sebab saya tidak bertudung, jadi saya kena biasakan diri dengan fesyen bertudung, tak boleh nampak kekok.
“Bagaimanapun, saya suka dan teruja untuk menjayakannya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Penat itu merancang mengeluarkan single baharu selepas Aidilfitri depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




