am@hmetro.com.my
Sepang: Seramai 351 jemaah haji Malaysia di bawah kelolaan syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH), Andalusia Travel & Tours berlepas ke Tanah Suci awal pagi tadi.
Kumpulan pertama KT11 itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 6 pagi menaiki pesawat Saudi Airlines menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah.
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, penerbangan ini turut disertai enam petugas Andalusia bagi memastikan perjalanan jemaah berjalan dengan lancar.
Menurutnya, pada musim haji 1446H/2025M tahun ini, PJH yang dilantik Tabung Haji (TH) akan menerbangkan 570 jemaah menerusi empat penerbangan.
Katanya, tiga penerbangan lagi adalah pada 6 Mei ini membabitkan 46 jemaah (KT 22), 35 jemaah (KT86) pada 27 Mei dan 84 jemaah (KT100) pada 31 Mei ini.
“Pakej haji yang ditawarkan bermula RM43,990 hingga RM 102,990 dan Andalusia Travel & Tours bersedia menerima tawaran daripada TH sekiranya diberikan kuota haji lebih. Ini kerana Andalusia sudah membuat tempahan awal bilik hotel yang banyak bagi menyambut kedatangan tetamu Allah,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, seramai 284 jemaah haji pertama Malaysia musim berlepas ke Tanah Suci pada 29 Mac lalu membabitkan jemaah yang berlepas dari stesen Alor Setar, Kedah dan Sepang, Selangor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sebanyak 100 penerbangan sewa khas menerusi syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan untuk membawa 31,600 jemaah haji ke Tanah Suci bagi musim ini.
Md Daud berkata, kumpulan jemaah haji yang berlepas ini memperoleh banyak kelebihan berikutan dapat masuk ke Madinah dan Raudah lebih awal.
“Ketika ini jemaah haji belum ramai. Mereka tidak perlu bersesak-sesak dengan jemaah lain,” katanya.
Beliau memuji sikap kerajaan Arab Saudi yang memberi keistimewaan sangat banyak kepada jemaah haji Malaysia.
“Lebih membanggakan apabila Malaysia menjadi negara pertama di dunia diberi kebenaran oleh Kerajaan Arab Saudi untuk mengedar kad Nusuk kepada jemaah sebelum berlepas ke Tanah Suci,” katanya.
Menurutnya, jemaah memilih Andalusia untuk mengerjakan haji berdasarkan rekod kecemerlangan syarikat dalam menguruskan umrah dan haji bermula 2007.
“Kami menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah dari segi makan minum, tempat tinggal, pengangkutan, kerja kebajikan dengan membawa jemaah melakukan ziarah, membantu melakukan umrah beberapa kali dan memberikan tazkirah setiap hari kepada jemaah bagi memberi ingatan cara mengerjakan haji dengan sempurna,” katanya.
Md Daud menambah, secara keseluruhan jemaah akan berada di Tanah Suci selama 47 hari dan bagi yang mengambil pakej istimewa akan berada 25 hari sehingga selesai menunaikan haji.
Katanya, setakat ini pihaknya menerima 3,000 rayuan permohonan mengerjakan haji dan keutamaan diberikan kepada yang sudah lama mendaftar bermula 2008.
Sementara itu, Mohamad Syukri Den, 50, pekerja syarikat swasta dari Kuching, Sarawak bersyukur kerana dipilih menjadi tetamu Allah pada tahun ini selepas 16 tahun menunggu.
Katanya, pengalaman kali pertama kali mengerjakan haji ini sangat bermakna baginya berikutan dapat dilakukan bersama isteri, Suriyani Kasnan, 50.
“Saya berharap dapat memperoleh haji yang mabrur serta diberikan kesihatan yang baik sepanjang berada di Makkah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd