Pempengaruh tawar diri bertanding pemilihan AMK

Pempengaruh tawar diri bertanding pemilihan AMK

yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pempengaruh, Dzulhilmi Zainol, menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia bagi penggal akan datang.

Katanya, berbekalkan pengalaman sebagai pempengaruh media sosial dan pernah dipilih sebagai Ketua AMK Damansara, Naib Ketua AMK Selangor dan beberapa peranan lain, dia yakin dapat menyumbang terutama dari sudut perang saraf sekaligus membantu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani.

“Saya akui bahawa ia tidak mudah dan pelbagai cabaran perlu dihadapi bersama demi memastikan kepimpinan Perdana Menteri kekal.

“Saya juga bertekad memastikan inisiatif Malaysia Madani disebarluaskan terutamanya dalam kalangan anak muda,” katanya.

Dzulhilmi, 34, berkata, sebagai pempengaruh, dia sedar terlalu banyak persepsi negatif dilemparkan kepada kerajaan dan dengan kaedah yang betul, semua isu dapat diperjelaskan dengan baik.

“Banyak tohmahan termasuk kerjasama dalam kerajaan Madani yang perlu diberi penjelasan. Ini antara ruang yang saya akan guna di peringkat parti,” katanya.Mengenai keputusan untuk menawarkan diri itu akan menjejaskan reputasinya sebagai pempengaruh, beliau berkata, ia tidak menjadi masalah kerana sebelum ini dia memang banyak memberi komen dan mengulas mengenai isu semasa secara terbuka.

“Dalam setiap kandungan media sosial memang akan ada perbezaan pendapat. Jadi kita raikan saja seadanya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top