15 pasukan 'Young Tigress' tunjuk skil

15 pasukan 'Young Tigress' tunjuk skil

lizamridzuan@hmetro.com.my

Kuala Selangor: Sebanyak 15 pasukan bawah 15 tahun perempuan dari beberapa akademi, sekolah dan kelab hoki sekitar Selangor serta Perak memeriahkan Kejohanan Hoki 9 Sebelah Tertutup Bawah 15 Tahun Perempuan Piala PIBG SMePP 2026 yang berlangsung di Padang Hoki SMK Pengkalan Permatang, di sini, semalam.

Kejohanan anjuran PIBG SMK Pengkalan Permatang itu menyaksikan saingan sengit dalam format permainan sembilan sebelah dengan tempoh 12 minit setiap perlawanan, sekali gus menjadi platform pembangunan bakat pemain remaja perempuan.

Kejohanan itu turut disempurnakan perasmiannya pada tengah hari oleh Pegawai Penyelaras DUN Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri sebelum saingan diteruskan membabitkan 15 pasukan dari beberapa sekolah, akademi dan kelab hoki.

Pasukan PPHT Lioness muncul juara kategori Cup selepas menampilkan aksi konsisten sepanjang kejohanan untuk menewaskan pencabar lain sekali gus membawa pulang trofi utama.

Tempat kedua menjadi milik RPS ‘C’ dari Ipoh, manakala SMK Sungai Pusu menamatkan saingan di tempat ketiga selepas mempamerkan aksi meyakinkan sepanjang kejohanan.

Pasukan RPS ‘B’ pula melengkapkan senarai empat terbaik kategori Cup selepas berjaya menamatkan kempen di tempat keempat.

Dalam kategori Plate, PPHT Tigress berjaya menebus kehampaan apabila muncul juara selepas memperagakan aksi cemerlang pada perlawanan penentuan.

Naib juara kategori Plate menjadi milik MBPJ Blue, diikuti PPHT Angels di tempat ketiga manakala MBPJ Yellow menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Antara pasukan yang mengambil bahagian ialah PPHT Tigress, PPHT Lioness, PPHT Angels, RPS ‘A’, RPS ‘B’, RPS ‘C’, MBPJ Yellow, MBPJ White, MBPJ Blue, Kusiss Girls ‘A’, Kusiss Girls ‘B’, Kusess Panthers ‘A’, Kusess Panthers ‘B’, SMK Sungai Pusu dan Saber.

Penganjuran kejohanan itu bukan sahaja memberi peluang pendedahan kompetitif kepada pemain muda, malah menjadi medan mencungkil bakat baharu hoki perempuan pada peringkat akar umbi selain mengeratkan hubungan antara sekolah, akademi dan komuniti sukan hoki tempatan.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan, pemain, jurulatih, ibu bapa dan penyokong yang hadir memeriahkan kejohanan itu serta berharap acara sama dapat diteruskan dengan lebih meriah pada edisi 2027.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top