SHAH ALAM – Setiausaha Agung Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), Aqeef Salih menafikan kenyataan media yang tular berhubung dakwaan kononnya majoriti ahli sayap itu umum hilang kepercayaan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Aqeef berkata, kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan, dipersetujui atau diputuskan melalui saluran rasmi MKM.
Sebaliknya, menurut beliau, ia sekadar tindakan beberapa individu dalam pimpinan pusat yang mempunyai agenda tersendiri dan mengambil kesempatan menggunakan platform MKM untuk menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif terhadap organisasi.
“Lebih memalukan, kenyataan tersebut langsung tidak disertakan nama dan jawatan individu yang bertanggungjawab mengeluarkannya.
“Ini jelas menunjukkan ia dibuat secara tidak profesional, tidak bertanggungjawab dan berniat tidak baik.
“Mana-mana pihak yang benar-benar berani dengan pendirian sendiri sepatutnya tampil secara terbuka, bukannya berselindung di sebalik nama organisasi MKM,” katanya dalam kenyataan terbaharu pada Ahad.
Aqeef menegaskan, MKM sentiasa berpegang kepada disiplin organisasi, adab perjuangan dan proses demokrasi yang matang.
Tambah beliau, sebarang pandangan peribadi tidak boleh ‘dipaksakan’ sebagai pendirian rasmi organisasi tanpa mandat serta persetujuan bersama.
“MKM tidak akan sesekali membenarkan platform perjuangan mahasiswa diperalatkan untuk kepentingan politik individu tertentu.
“Kami sebagai sayap mahasiwa akan sentiasa menghormati institusi presiden dan menyokong penuh kepimpinan Anwar,” ujarnya.
Justeru, beliau memaklumkan bahawa pihak sekretariat akan meneliti perkara tersebut dengan serius termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama MKM tanpa kebenaran.
“MKM akan terus kekal fokus membawa suara mahasiswa dengan penuh tanggungjawab, prinsip dan integriti,” tegas Aqeef lagi.
Terdahulu, portal tempatan melaporkan sekumpulan ahli MKM yang memenangi pemilihan sayap PKR baru-baru ini didakwa mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Anwar.
Kumpulan mahasiswa itu dalam satu kenyataan mendakwa, keputusan tersebut dibuat selepas kepimpinan baru MKM melakukan penilaian kritikal terhadap hala tuju parti yang dikatakan semakin menjauh daripada semangat reformasi asal.



