Selangor FC tambah kepakaran Jepun, Fujimoto berganding semula dengan Kinoshi

Selangor FC tambah kepakaran Jepun, Fujimoto berganding semula dengan Kinoshi

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selangor FC terus memperkemas struktur kejurulatihan mereka menjelang saingan Liga Super 2025/2026 apabila mengumumkan penyertaan jurulatih dari Jepun, Yuki Fujimoto sebagai penolong ketua jurulatih baharu pasukan.

Kemunculan Fujimoto mencuri tumpuan apabila beliau kembali bergandingan dengan ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi yang turut berasal dari Jepun dan kini bersedia membentuk kekuatan baharu Gergasi Merah di musim ini.

Fujimoto bukan individu asing buat Kinoshi, sebaliknya mereka pernah bekerjasama dalam beberapa projek bola sepak di Jepun dan China, sekali gus dijangka memudahkan proses adaptasi dan menyuntik keserasian taktikal.

Selangor FC dalam kenyataan rasmi memaklumkan, penambahan tenaga import dalam kalangan kejurulatihan ini adalah sebahagian daripada usaha mengekalkan falsafah permainan yang konsisten dan moden.

“Yuki Fujimoto sebelum ini pernah bekerja rapat bersama Kinoshi dan akan menyumbang kepakarannya untuk meningkatkan aspek taktikal serta teknikal pasukan,” menurut kenyataan itu.

Musim ini menyaksikan tiga individu utama dikekalkan iaitu Shahrom Kalam dan Jun Marques Davidson sebagai penolong ketua jurulatih serta Dr Raja Mohammed Firhad selaku jurulatih kecergasan pasukan.

Malah, Selangor FC turut menyambut semula kehadiran bekas penjaga gol mereka, Hamsani Ahmad yang kini memikul tanggungjawab sebagai jurulatih penjaga gol menggantikan posisi sebelum ini.

Gabungan jurulatih tempatan dan antarabangsa itu dianggap langkah progresif dan menunjukkan kesungguhan Selangor FC dalam membina pasukan mantap untuk mencabar kejuaraan.

Dengan kekuatan sedia ada dan tambahan dalam kejurulatihan, Gergasi Merah dilihat bersedia menghadapi musim padat membabitkan saingan Liga Super, Kejuaraan Kelab Asean dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2).

Pengurusan Selangor FC mengharapkan sinergi antara Kinoshi dan Fujimoto dapat membawa elemen latihan lebih tersusun, sekali gus membantu mempercepatkan perkembangan pemain muda serta meningkatkan tahap profesional pasukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top