[DIKEMAS KINI] PERMOHONAN Selangor FC untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman beraksi di stadium tanpa kehadiran penyokong ditolak Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).
Keputusan itu menyaksikan hukuman berkenaan kekal berkuat kuasa ketika Selangor melayan kunjungan Sabah FC dalam aksi Piala FA 2026/27 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu.
Menurut kenyataan, permohonan penangguhan itu dibuat terhadap hukuman yang dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 15 November lalu.
Hukuman tersebut kemudiannya dikekalkan Jawatankuasa Rayuan FAM pada 26 November tahun sama susulan insiden membabitkan kelakuan penyokong dan penganjuran perlawanan.
Selangor kemudiannya mengemukakan permohonan secara kecemasan di bawah Rule 23 AIAC Rules 2026 bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman berkenaan.
Permohonan itu didengar pada jam 5 petang Isnin, waktu Malaysia, sebelum Emergency Sole Arbitrator memutuskan untuk menolaknya.
Susulan keputusan tersebut, Selangor yang terikat 2-2 dalam perlawanan pertama terpaksa beraksi tanpa sokongan penyokong ketika berdepan Sabah perlawanan kedua pusingan 16.
Bagaimanapun, proses pendengaran penuh berhubung rayuan Selangor terhadap kes berkenaan masih terbuka dan akan diteruskan mengikut tatacara timbang tara yang ditetapkan.
FAM sebelum ini mengenakan hukuman dua perlawanan tanpa penyokong dalam saingan Piala FA selain denda RM10,000 terhadap Selangor.
Kelab itu didapati bersalah melanggar Artikel 70, Perenggan 1 dan Perenggan 3 Kod Tatatertib FAM bagi Pertuduhan 1, 2, 3 dan 4.
Selangor turut didapati melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM bagi Pertuduhan 5 ketika perlawanan menentang Negeri Sembilan pada suku akhir Piala FA.
