Holgado bakal kembali ke Malaysia?

sukan@hmetro.com,my

Kuala Lumpur: Penyerang kelahiran Argentina yang mempunyai status pemain Malaysia, Rodrigo Holgado, berpotensi kembali beraksi dalam kancah bola sepak tempatan apabila DPMM FC menyatakan minat mendapatkan khidmat pemain berusia 31 tahun itu.

Menerusi laman rasmi kelab, DPMM FC menyatakan keinginan untuk menandatangani Holgado yang kini bersama kelab Chile, Coquimbo Unido, selepas memiliki pengalaman luas beraksi di beberapa liga Amerika Latin.

Holgado sebelum ini beraksi di Mexico bersama Albinegros Orizaba dan Veracruz pada 2017 hingga 2018 sebelum berpindah ke Chile untuk menyertai Coquimbo Unido di divisyen kedua dan membantu kelab itu muncul juara liga.

Dia kemudiannya beraksi bersama Audax Italiano dan Curico Unido sebelum kembali menyertai Coquimbo Unido pada 2023 secara pinjaman daripada kelab Argentina, Gimnasia La Plata.

Prestasinya turut menyerlah pada musim 2022-2023 apabila meledak 24 gol ketika bersama Audax dan Curico sebelum berhijrah ke Colombia pada 2024 untuk menyertai America de Cali dan menjaringkan 17 gol dalam saingan liga utama negara itu.

Bagaimanapun, hasrat DPMM FC mendapatkan khidmat Holgado perlu mengambil kira status penggantungannya susulan kes pemalsuan dokumen ketika mewakili Harimau Malaya bersama enam pemain lain.

Kesemua pemain terbabit kini menjalani penggantungan 12 bulan selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan mereka dan mengekalkan hukuman berkenaan.

Mereka sebelum ini sempat kembali beraksi pada awal tahun sebelum perlu meneruskan baki hukuman, dengan tempoh penggantungan dijangka berakhir pada November ini.

Namun, usaha DPMM FC itu turut hadir selepas jendela pertama perpindahan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ditutup pada 3 September lalu, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada perpindahan Holgado ke kelab tempatan itu boleh direalisasikan pada ketika ini.

Selain Holgado, beberapa pemain lain yang terpalit dalam kes berkenaan termasuk Imanol Machuca dan bintang LaLiga, Facundo Garces, juga dijangka boleh kembali beraksi selepas tamat tempoh penggantungan mereka pada November nanti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top