firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Christophe Gamel akui sepatutnya kemenangan lebih besar mampu dilakar selepas melihat skuad kendaliannya menang 3-0 ke atas Melaka FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBP), di Kelana Jaya, semalam.
Katanya, beberapa peluang terhidang sepatutnya boleh diterjemahkan kepada jaringan namun ketumpulan di bahagian depan mengecewakan pasukan.
Justeru, jurulatih dari Perancis berusia 53 tahun itu mahu barisan penyerang tampil lebih tajam dalam aksi berikutnya selepas ini.
“Kami memulakan permainan dengan rentak sangat baik dan agresif. Selepas (mendapat) tiga gol, kami menyesuaikan diri dengan rentak mereka dan bukannya meneruskan rentak kami dalam permainan.
“Kami mencipta banyak peluang dan saya ada pemain berbeza yang menjaringkan gol. Bagi saya, itu penting dan ia bermakna kami bermain sebagai satu pasukan.
“Namun, kami perlu mempunyai mentaliti ‘pembunuh’ dan perkara itu juga yang menyebabkan kami tersingkir daripada Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2). Apabila kami mempunyai peluang, kami mesti mematikannya (menjaringkan gol).
“Bagaimanapun kita tidak boleh merumuskan permainan hanya dengan perkara itu sahaja. Sekurang-kurangnya kami meraih tiga mata, mereka (pemain) bukan robot, mereka adalah manusia. Anda boleh menjaringkan gol dan kadang-kadang anda terlepas, saya tidak mahu menyalahkan mereka.
“Ya, pastinya (Selangor patut menang dengan jaringan lebih besar). Saya tidak tahu, tetapi enam atau tujuh gol boleh menjadi keputusan yang tepat kerana secara pertahanan kami mantap,” katanya selepas perlawanan.
Pada perlawanan itu, Selangor bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi Noor Al-Rawabdeh seawal minit kedua sebelum Alvin Fortes dan Chrigor Moraes menambah dua lagi gol pada minit ke-10 dan 13.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor berjaya mendaki ke tangga ketiga liga, berkongsi 25 mata bersama pasukan tangga kedua, Kuching City dan Kuala Lumpur (KL) City yang menghuni kedudukan keempat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




