am@hmetro.com.my
Seremban: Selepas 125 tahun ditubuhkan, Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul, di sini, buat pertama kali dalam sejarahnya menerima murid perempuan bagi sesi 2024, hari ini.
Seramai 10 murid perempuan tahun satu memulakan sesi persekolahan mereka dan menjadi perintis di sekolah yang sebelum ini terdiri daripada murid lelaki sahaja.
Pengerusi Lembaga Pengurus SK St Paul, Dr Mahadevan Deva Tata berkata, keputusan itu diambil ekoran trend penurunan pendaftaran pelajar baharu ke sekolah itu sejak lima tahun kebelakangan ini.
“Kebanyakan penduduk di sekitar kawasan ini kini adalah generasi tua yang mana mereka tiada anak kecil lagi.
“Generasi muda pula tinggal di taman perumahan baharu dibuka dengan kemudahan sekolah yang lebih baik dan canggih. Jadi mereka tertumpu di sekolah sekitar Seremban 2,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Dia berkata, pihak pengurusan sekolah membuat persediaan seperti pengasingan tandas untuk menerima murid perempuan sejak dua bulan lalu selepas diluluskan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Sembilan.
“Seramai 10 murid perempuan sahaja yang masuk hari ini, namun saya difahamkan akan bertambah sehingga 20 murid dalam masa dua tiga hari lagi kerana ada yang sedang membuat permohonan pindah ke sekolah ini dari sekolah asal.
“Kami ada juga menerima permohonan untuk kemasukan ke tahun dua dan tiga. Namun sebagai permulaan, kami hanya menerima murid tahun satu sahaja,” katanya.
Alumni SK St Paul, Noor Fadzli Shah Noor Hashim, 45, berkata, meskipun tidak dapat meneruskan tradisi kebanggaan ‘Paulian’, namun kebanyakan bekas murid terpaksa akur dengan keputusan itu.
“Kebanyakan sekolah dalam kelompok La Salle memang menunjukkan penurunan jumlah pelajar setiap tahun yang mana faktor utamanya adalah usia sekolah itu sendiri.
“Di SK St Paul, jumlah minimum bagi murid tahun satu adalah 100 orang, namun tahun ini hanya 94 murid yang berdaftar. Jika tiada inisiatif seperti ini, mungkin suatu hari jumlah murid di sekolah ini tidak mengcukupi,” katanya.
Ong Jit Joe, 38, yang menghantar anak perempuannya ke sekolah itu berkata, dia melakukannya kerana memudahkan dia memandang anak lelakinya juga belajar di sekolah sama.
“Abangnya di tahun tiga. Anak perempuan juga selalu ke sekolah ini dan kenal dengan guru serta kawan abangnya, jadi saya lebih yakin untuk daftarnya ke sekolah ini.
“Saya rasa tiada masalah jika dia adalah pelajar perempuan pertama yang masuk ke sekolah ini. Saya harap dia dapat sesuaikan diri dengan segera bantuan abangnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




