norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi yang juga pengarah dan penerbit filem, Mawi, 45, mengesahkan perancangannya untuk merealisasikan konsert solo pada September atau Oktober depan.
Mawi atau nama sebenar Asmawi Ani berkata, dia kembali mendapat semangat untuk menganjurkan konsert solo selepas menerima maklum balas positif ketika muncul pada Konsert 3 Aura, baru-baru ini.
“Ya, selepas konsert itu (3 Aura) memang tidak disangka maklum balas yang sangat positif saya terima daripada penonton. Ramai yang minta saya mengadakan konsert solo sendiri.
“Mereka kata tidak puas dengan persembahan saya. Jadi, saya pun fikir okay juga kalau mulakan dengan konsert berskala kecil. Memadai sangatlah,” katanya mengenai perancangan konsert berkenaan.
Dalam Konsert 3 Aura, Mawi bergading dengan dua penyanyi ‘otai’ iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Ameng Spring.
Katanya, berikutan itu dia merancang satu konsert solo istimewa buat peminat-peminat yang ingin menyaksikan persembahannya.
Sebelum ini, Mawi menerusi hantaran dimuat naik di akaun Threads bertanya pendapat kepada peminatnya jika dia ingin menganjurkan konsert solo sendiri tidak lama lagi.
“Atas permintaan sahabat-sahabat yang ‘seru’ saya untuk buat konsert solo, saya ingat nak buat kecil-kecilan dulu dalam 3,000 orang. Insya-Allah dalam bulan September atau Oktober.
“Anda berminat tak nak sertai?” tulisnya yang pernah mencetus fenomena ‘Tsumawi’ dan dikenali dengan ‘tagline’ Mawi World ketika menyertai Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) pada 2005.
Sebelum ini, Konsert Tsumawi Mawi World Live In Kuala Lumpur sepatutnya berlangsung di Mega Star Arena pada 25 Januari tahun lalu, tetapi ditunda ke Julai tahun sama, namun akhirnya dibatal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




