Selepas menang Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah, suami akan tunaikan haji

Selepas menang Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah, suami akan tunaikan haji

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu, Nurul Izzah Anwar akan menumpukan tiga perkara utama termasuk melakukan transformasi dalaman parti selepas berjaya menjawat jawatan kedua tertinggi parti itu.

‘Puteri Reformasi’ itu berkata, fokus yang diberikan termasuklah usaha untuk bergerak menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

“Saya akan fokus kepada pertamanya merangkul semua usaha dalam parti, kedua melaksanakan reformasi dalaman dan ketiga bergerak menuju PRU seterusnya,” katanya ringkas ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kongres Nasional PKR 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) Johor di sini, hari ini.

Nurul Izzah diumumkan secara rasminya memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR pada Pemilihan PKR Peringkat Pusat berlangsung hari ini dengan undian sebanyak 9,803.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, turut memohon mendoakan beliau dan suami yang akan berangkat ke Makkah menunaikan ibadah haji selepas selesai Kongres Nasional PKR itu.

Kemenangan Nurul Izzah sekali gus mengetepikan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Ketika ditemui sebaik keputusan pemilihan itu diumumkan, Rafizi dilihat segera meninggalkan dewan diiringi penyokongnya.

Ahli Parlimen Pandan itu meminta pengamal media menemubual Timbalan Presiden yang baharu ketika diminta memberikan komen mengenai keputusan pemilihan itu.

“You should interview the (Awak patut temubual) Timbalan Presiden (Nurul Izzah),” katanya.

Beliau turut dilihat memberi bayangan kekecewaan dengan keputusan itu memandangkan mempersoalkan soalan media yang bertanyakan keadaannya sama ada beliau ‘ok’.

“What kind of question is that? (Soalan apakah itu)” soalnya.

Turut kelihatan, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memeluk erat Rafizi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top