Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberi peluang memimpin negara untuk penggal kedua susulan kejayaan menyelesaikan isu penempatan penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara yang berlarutan lebih empat dekad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berpandangan, beliau yang mengikuti dan memperjuangkan isu itu sejak era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini melihat penyelesaian hanya dapat dicapai apabila Anwar mengambil pendekatan menghormati proses perundangan serta menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat.
“Doa saya pemimpin seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dikembalikan semula ke Putrajaya selepas ini. Dengan sepenuh hati saya katakan, kamu layak dapat penggal yang kedua.
“Saya telah memperjuangkan isu ini begitu lama dan di bawah tangan beliau, beliau tidak campur tangan dengan keputusan mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Perubahan Kekal Bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur pada Isnin.





