Seleweng subsidi padi: Bekas PM Thailand kena bayar ganti rugi RM1.3 bilion

Seleweng subsidi padi: Bekas PM Thailand kena bayar ganti rugi RM1.3 bilion

Bangkok: Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, diarahkan membayar ganti rugi sebanyak 10.028 bilion baht (kira-kira RM1.3 bilion) berhubung skandal penyelewengan program subsidi padi negara itu.

Mahkamah Thailand membatalkan keputusan mahkamah lebih rendah sebelum ini yang membebaskan Yingluck daripada liabiliti kewangan, dan sebaliknya menyatakan beliau bertanggungjawab secara peribadi kerana gagal menghentikan penyelewengan dalam urus niaga padi antara kerajaan (G-to-G) semasa pentadbirannya.

The Thaiger melaporkan, pada asalnya, Kementerian Kewangan menuntut ganti rugi berjumlah 35.717 bilion baht (RM4.6 bilion), dan Jabatan Pelaksanaan Undang-undang turut mengarahkan penyitaan aset milik Yingluck serta suaminya, Anusorn Amorchat.

Namun, mahkamah membatalkan perintah penyitaan itu dengan alasan bukti tidak menyokong jumlah tuntutan yang terlalu besar.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa Yingluck perlu membayar separuh daripada kerugian 20.057 bilion baht (kira-kira RM2.59 bilion) yang berpunca daripada skandal urus niaga G-to-G, menjadikan jumlah tuntutan terhadapnya sebanyak 10.028 bilion baht (kira-kira RM1.29 bilion).

“Beliau gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Dasar Padi Negara,” kata mahkamah, sambil menyatakan bahawa Yingluck hanya menghadiri satu mesyuarat dan mengabaikan pelbagai amaran daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan dan Pejabat Audit Negara.

Suaminya, Anusorn, menerima sedikit kelegaan apabila mahkamah mengarahkan pembatalan penyitaan terhadap harta miliknya sahaja kerana mengiktiraf bahawa aset selepas perkahwinan perlu dibahagi.

Pihak berkuasa diberi tempoh 60 hari untuk memisahkan harta milik Anusorn daripada harta beku Yingluck yang akan dilelong bagi membayar ganti rugi.

Yingluck yang melarikan diri ke luar negara sejak 2017, diwakili oleh peguamnya, Norawich Lalaeng, yang mengemukakan hujah pembelaan namun tidak mampu mengubah keputusan yang nyata tidak berpihak kepada anak guamnya.

Skim subsidi padi itu popular dalam kalangan petani miskin dan menjadi faktor kemenangan parti Yingluck dalam pilihan raya umum pada 2011.

Bagaimanapun, kerajaan tentera mendakwa skim itu menyebabkan negara kerugian banyak wang dan menuduh Yingluck membiarkan situasi itu berlaku.

Meskipun mahkamah tidak menyalahkannya atas kerugian keseluruhan program itu, kegagalannya bertindak terhadap amaran rasuah yang sahih telah memuktamadkan nasib perundangannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top