ajohari@bh.com.my
Putrajaya: Permohonan semakan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta terhadapnya ditangguhkan Mahkamah Persekutuan hari ini.
Sabitan dan hukuman itu berhubung sembilan tuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah, menangguhkan prosiding bagi membolehkan kedua-dua belah pihak meneliti Rakaman Transkripsi Mahkamah (CRT) di mahkamah sama ketika rayuan dan keputusan kes itu pada 5 dan 10 Februari lalu.
Mahkamah terdahulu membenarkan peguam M Athimulan yang mewakili Mohd Isa untuk mendapatkan rakaman CRT terbabit berikutan terdapat pertikaian mengenai prosiding di mahkamah terbuka pada kedua-dua tarikh berkenaan.
Hashim yang membenarkan permohonan Athimulan berkata, mahkamah membuat keputusan membenarkan rakaman CRT diberikan kepada kedua-dua pihak demi kepentingan keadilan.
Kedua-dua pihak diarahkan meneliti rakaman itu, membandingkan nota masing-masing dan apabila mereka sudah mencapai persetujuan, diminta untuk memaklumkan kepada mahkamah.
Panel yang turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi dan Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan esok bagi pengurusan kes.
Terdahulu, Athimulan memberitahu mahkamah, pihaknya tidak dapat menyediakan afidavit bagi mengemukakan pembelaan berhubung mitigasi (rayuan diringankan hukuman), berikutan tidak dibenarkan mendapatkan rakaman terbabit.
Peguam itu berkata, permohonan dibuat dengan alasan terdapat dakwaan menyatakan bahawa pembelaan tidak mengemukakan sebarang mitigasi berhubung hukuman terhadap anak guamnya sedangkan beliau tidak pernah diminta untuk berbuat demikian.
“Saya mesti menangani naratif pendakwaan di sini di mana timbalan pendakwa raya menyatakan kami ada diminta untuk mengemukakan mitigasi.
“Saya menyatakan saya percaya tiada permintaan sebegitu dan tiada arahan spesifik dari panel ketika itu,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz bagaimanapun menyatakan bahawa permohonan pihaknya untuk mendapatkan CRT juga tidak dibenarkan dan isu berkenaan sudah pun selesai di mana ia sudah dijawab oleh pihak-pihak.
Beliau turut menyatakan bahawa permohonan itu adalah tidak wajar.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan, pada 10 Februari lalu sebulat suara mengembalikan sabitan dan hukuman terhadap Mohd Isa, 77, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024.
Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan kini sedang menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh, memfailkan permohonan semakan terbabit pada 4 Mac lalu di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta, dengan tambahan 18 tahun penjara sekiranya gagal membayar denda.
Mohd Isa yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan bagaimanapun dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 yang mendorong pihak pendakwaan merayu ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 2018, Mohd Isa didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.
Ia sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching pada harga RM160 juta oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




