DUN: 136 rumah ibadat bukan Islam di Pulau Pinang tiada kelulusan pelan bangunan

DUN: 136 rumah ibadat bukan Islam di Pulau Pinang tiada kelulusan pelan bangunan

GEORGE TOWN: Sebanyak 115 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) dalam kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 21 di bawah seliaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dikenal pasti tidak mempunyai kelulusan Pelan Bangunan setakat Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, semua kes akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan RIBI Pulau Pinang bagi tujuan penyelarasan keputusan dan tindakan lanjut.

Menurut beliau, kerajaan negeri mengambil pendirian tegas, namun, berhemah dalam menangani isu rumah ibadat tanpa izin dengan mengekalkan keseimbangan antara pematuhan undang-undang dan penyelesaian secara toleransi.

“Kerajaan negeri menegaskan, sebarang pembinaan baharu rumah ibadat tanpa kelulusan pihak berkuasa akan dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan dasar dan perundangan yang telah berkuat kuasa.

“Bagi struktur RIBI sedia ada yang dibina tanpa kelulusan pula, kerajaan negeri mengamalkan pendekatan toleransi melalui proses pemutihan, penempatan semula atau penyediaan tapak alternatif yang bersesuaian,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Siew Khim (PH-Sungai Pinang) menjawab soalan K. Kumaran (PH-Bagan Dalam) mengenai pendirian serta langkah kerajaan negeri dalam menangani isu rumah ibadat tanpa izin di Pulau Pinang.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan RIBI Negeri Pulau Pinang yang diselia Unit RIBI di bawah Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) negeri bagi memastikan setiap isu dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan.

Katanya, penyediaan tapak RIBI kini dijadikan syarat dalam setiap skim pembangunan baharu oleh pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kemudahan keagamaan dirancang secara lebih tersusun dan sah di sisi undang-undang.

“Kerajaan negeri juga menyokong usaha Kerajaan Persekutuan untuk menyelaras dan menambah baik garis panduan RIBI menerusi kajian semula pelaksanaan di bawah Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT),” katanya.

Tambah beliau, pendekatan jangka panjang kerajaan negeri bagi memastikan keharmonian antara kaum dan agama termasuk memperkukuhkan bantuan menerusi Tabung Amanah atau Peruntukan Khas RIBI selain memperkasa sistem digital eRIBI. – UTUSAN

Scroll to Top