Kuala Lumpur: Dulu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang, ibarat rumah kedua buat Mohd Syahidrol Nor Azan, 41, yang melakukan pelbagai tugasan.
Namun, sejak diberi cuti tanpa gaji oleh majikan pada Oktober lalu, Mohd Syahidrol beralih bidang dengan mencari rezeki sebagai peniaga hasil makanan laut sejuk beku.
Mohd Syahidrol berkata, dia tidak berseorangan sebaliknya bersama adik ipar, Muhamad Haniff Abd Rahman, 32, yang membuka jalan dan mempelawanya untuk berniaga bersama.
Meskipun tiada pengalaman, Mohd Syahidrol cuba melakukannya demi menyara isteri, Noraini Khusen, 37, yang juga suri rumah dan lima anak berusia sembilan bulan hingga 11 tahun.
“Saya berkhidmat di syarikat itu sejak April 2006 dan semuanya baik sehingga Mac tahun lalu iaitu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Untuk enam bulan pertama iaitu dari Mac hingga Ogos tahun lalu, saya dan sebahagian kakitangan lain diberi cuti dengan gaji penuh sebelum dipanggil bekerja pada September lalu.
“Namun, saya hanya sempat bekerja selama sebulan sebelum syarikat memberi cuti tanpa gaji bermula Oktober lalu,” katanya ketika ditemui di gerai diberi nama Papa Payung Runcit Online berhampiran terowong Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dekat Taman Dato Senu, Sentul, di sini.
Menurut Mohd Syahidrol, dia ada memohon pekerjaan lain sementara menunggu dipanggil kembali bekerja oleh majikan.
Namun, percubaannya tidak berhasil menyebabkannya tiada pilihan kecuali berniaga di gerai adik iparnya kerana elaun sara hidup sebanyak RM600 diterima daripada majikan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga serta menjelaskan komitmen bulanannya.

“Bukan saya seorang saja yang terkesan, malah ramai rakan dan individu lain di seluruh dunia menerima tempias kesan pandemik Covid-19.
“Jadi, saya cuba berniaga dan membantu adik ipar yang kebetulan baru membuka gerai menjual hasil makanan laut pada September lalu.
“Saya bersyukur dapat berniaga kerana sekurang-kurangnya, ada pendapatan untuk menampung perbelanjaan sekolah anak selain membayar komitmen bulanan seperti rumah dan kereta,” katanya.
Bercerita lanjut, Mohd Syahidrol berkata, gerai adik iparnya itu dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 7 malam.
Katanya, pelbagai hasil makanan laut dijualnya seperti siput sedut, ikan sepat, pepahat, ketam, kerang, telur sotong merah, lala, ikan salmon, udang dan petai.
“Alhamdulillah, ada saja pelanggan yang datang membeli dan dalam sehari, kami dapat meraih antara RM100 hingga RM150.
“Cuma, perniagaan ini ada turun naiknya dan cabarannya ketika hujan kerana tidak dapat keluar berniaga,” katanya.
Menurut Mohd Syahidrol, dia masih berharap dipanggil semula bekerja oleh majikan sekiranya khidmatnya masih diperlukan.
“Namun, seandainya tiada rezeki, saya akur dan terpaksa terima walaupun suka atau tidak.
“Diharap, rakan lain yang senasib dengan saya tidak berputus asa dan terus berusaha mencari rezeki halal demi keluarga,” katanya.




