'Semoga anak didik dapat belajar daripada Guru cara Diplomasi MADANI diterjemahkan' – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir secara halus timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan menggunakan rujukan ‘guru’ dan ‘slay’ yang digunakan oleh Presiden UMNO itu dalam kenyataan terbarunya.

Anwar, yang tiba di New Delhi bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS Ke-18, menggunakan kedua-dua istilah berkenaan dalam satu hantaran di Facebook bagi mengemas kini maklumat kepada rakyat Malaysia mengenai misi diplomatiknya.

“Alhamdulillah Guru selamat tiba di New Delhi, India untuk membawa nama negara di pentas dunia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.

“Doakan misi diplomasi negara ini mencapai matlamatnya. Semoga anak didik dapat belajar dari Guru cara Diplomasi MADANI diterjemahkan. Slayyy,” katanya.

Sebelum ini pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, Ahmad Zahid menyindir seorang individu yang didakwanya enggan mendengar keluhan dan kebimbangan rakyat.

Merujuk kepada individu yang tidak dinamakan itu sebagai ‘guru’, Ahmad Zahid, ketika menggariskan Agenda Malaysia Biru, menyorot impak dasar-dasar ekonomi terhadap rakyat marhaen.

Beliau turut menggesa golongan muda supaya berkeyakinan dalam mengemukakan idea mereka, dengan menggunakan frasa ‘slay’ dan ‘flex’ dalam satu hantaran di media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top