Senarai calon PH bagi PRN Negeri Sembilan diumum 14 Julai

Senarai calon PH bagi PRN Negeri Sembilan diumum 14 Julai

Seremban: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengumumkan senarai calon PH Negeri Sembilan yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 pada 1 Ogos ini dalam satu majlis di Dataran Melang, Kuala Pilah, Selasa depan.

Pengerusi PH Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, senarai calon berkenaan telah diserahkan, manakala pengumuman rasmi hanya akan dibuat oleh Presiden PKR yang juga Perdana Menteri pada tarikh tersebut.

Mengulas spekulasi bahawa beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, penyandang kerusi DUN Sikamat itu enggan mengulas lanjut dan meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi.

“Saya tiada apa-apa komen lagi setakat ini. Insya-Allah tunggu 14 Julai ini. Nasihat saya, semua mesti bekerja ke arah kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Geran Khas kepada 342 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri itu yang membabitkan peruntukan berjumlah RM342,000.

Aminuddin yang juga Menteri Besar berkata menjelang pilihan raya itu, semua calon dan parti perlu memberi tumpuan kepada gerak kerja bagi memastikan kemenangan gabungan berkenaan di negeri tersebut.

Pada 13 Jun lalu, beliau berkata, pembahagian 36 kerusi DUN Negeri Sembilan menyaksikan PKR bertanding di 16 kerusi, DAP (11) dan Amanah (sembilan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala hari penamaan calon pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top