Sengaja penatkan suami jaga anak, cara Wawa Zainal minta ‘tutup kilang’

Aktres dan usahawan Wawa Zainal menyifatkan ‘keletihan’ suaminya, Aeril Zafrel menjaga bayi lelaki yang dilahirkan Selasa lalu sebagai ‘hadiah’ sempena ulang tahun kelahiran aktor tersebut, semalam.

Menurut Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berseloroh, ia adalah cara supaya suaminya yang menyambut hari lahir ke-33 bersetuju untuk ‘menutup kilang’ setelah memiliki empat cahaya mata.

“Happy birthday my love.. nah hadiah hari jadimu. Kepenatan. Nak sangat anak ramai kan. Saja buli dia jaga sepanjang malam supaya dia setuju untuk tutup kilang (tiada lagi perancangan hamil) hihi..
“I love u @aeril_zafrel. Suami terbaik & ayah yang terbaik untuk anak2. Begini la nanti setiap tahun tiga hari berturut2 posting pasal birthday je,” tulisnya.

Aktres berusia 30 tahun itu memuat naik satu posting video di laman Instagram memaparkan suaminya memberikan susu kepada anak mereka sambil ‘mencuri’ masa bagi melelapkan mata setelah berjaga malam.

Selepas dipanggil Wawa, suaminya dilihat dalam keadaan ‘mamai’ namun masih ‘steady’ menjaga bayi berkenaan yang diletakkan di atas riba.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen terhibur melihat gelagat Aeril yang terpaksa menahan rasa mengantuk selain tidak lupa mengucapkan selamat hari lahir kepada aktor drama Tercipta Satu Ikatan itu.

Hasil perkahwinan pada 2013, pasangan itu dikurniakan Ahmad Fakhruddin Attar, 7, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 5, Ayya Soffya, 1, dan bayi bongsu yang belum lagi didedahkan namanya.

Sumber: Instagram Wawa Zainal & Aeril Zafrel