suliati@hmetro.com.my
Seni pantun bukan sekadar warisan budaya Melayu yang diwarisi turun-temurun, sebaliknya berpotensi menjadi medium kreatif dalam menyampaikan mesej berkaitan kesihatan mental dan kesejahteraan diri.
Keindahan bahasa, susunan kata serta makna tersirat dalam pantun mampu membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami isu kesihatan mental dengan pendekatan lebih santai dan dekat dengan kehidupan seharian.
Itu antara objektif yang ingin disampaikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama KPJ Healthcare menerusi penganjuran Temasya Pantun Kaunseling dan Kesihatan Mental (TEPAKK) 2026 x Sistem Kesihatan KPJ.
Mengangkat tema Kesenian Penyembuh Jiwa, program yang berlangsung sepanjang Oktober itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kepentingan kesihatan mental, malah turut memelihara seni pantun Melayu sebagai khazanah budaya yang perlu terus dipertahankan.
Dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA), program yang turut mendapat sokongan dari Bank Simpanan Nasional (BSN), Sinar Harian dan PTS Media Group Sdn Bhd menjadikan TEPAKK 2026 sebagai platform menghubungkan dunia pendidikan, budaya dan penjagaan kesihatan.
TEPAKK 2026 x Sistem Kesihatan KPJ merangkumi dua pertandingan utama iaitu Pertandingan Berbalas Pantun antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Pertandingan Mencipta Pantun yang dibuka kepada masyarakat umum.
Majlis perasmian TEPAKK 2026 x Sistem Kesihatan KPJ disempurnakan Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan pembabitan Komuniti UIAM, Profesor Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin pada 23 Oktober lalu.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi KPJ Healthcare, Datuk Mohamad Farid.
Pertandingan Berbalas Pantun antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berlangsung dari 23 hingga 26 Oktober itu membabitkan 18 pasukan daripada sembilan IPT iaitu UIAM, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Penyertaan mahasiswa daripada pelbagai institusi itu memberi peluang kepada generasi muda untuk mengasah kreativiti, kemahiran berbahasa dan pemikiran kritis menerusi seni berbalas pantun.
Selain itu, pertandingan ini juga menyediakan ruang kepada mahasiswa menyampaikan mesej berkenaan kesedaran kesihatan mental dan kesejahteraan diri melalui pendekatan seni yang dekat dengan identiti masyarakat Melayu.
Pantun yang sarat dengan nilai nasihat, pengajaran dan kebijaksanaan berpotensi menjadi jambatan komunikasi dalam menyampaikan mesej penting berkaitan kesihatan mental, sekali gus menggalakkan masyarakat lebih terbuka membincangkan isu berkenaan.
Dalam masa sama, pembabitan mahasiswa dalam program itu dapat menyemarakkan minat terhadap seni pantun, terutama dalam kalangan generasi muda yang berdepan pelbagai pengaruh budaya dan perkembangan teknologi.
Selain Pertandingan Berbalas Pantun, TEPAKK 2026 turut menganjurkan Pertandingan Mencipta Pantun yang dibuka kepada masyarakat umum dari 1 hingga 30 Oktober, sekali gus memperluas peluang penyertaan kepada orang ramai untuk menyampaikan kreativiti menerusi karya pantun.
Kerjasama UIAM dan KPJ Healthcare menerusi program itu mencerminkan usaha menghubungkan institusi pengajian tinggi dengan sektor penjagaan kesihatan dalam memperluas kesedaran mengenai kesihatan mental kepada masyarakat.
Pendekatan berteraskan budaya dilihat mampu menjadikan perbincangan mengenai kesejahteraan mental lebih mudah diterima, tanpa mengetepikan nilai seni dan warisan yang menjadi identiti masyarakat.
Pada masa sama, pembabitan Sistem Kesihatan KPJ dalam program itu turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengenali lebih dekat sistem penjagaan kesihatan berkenaan.
Pertandingan itu turut menampilkan juri jemputan terdiri daripada personaliti televisyen dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya; penulis lirik dan pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Dr Hairul Anuar Harun; serta penyanyi lagu tradisional dan penyair, Roslan Madun.
Hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPT, Datuk Azhar Mohamad Yusof; Pengarah DBP Wilayah Tengah, Julia Alani Hendry; Ketua Pegawai Kewangan KPJ Healthcare, Mohd Khairul Izzad Mohammed Shamsudin; Timbalan Naib Canselor (Pengalaman Pelajar & Alumni) KPJ Healthcare University, Prof Emeritus Datuk Dr Rohana Yusof; serta Pengarah Pusat Perkhidmatan Kaunseling dan Kerjaya UIAM, Saiful Redza Mohamed.
Menerusi TEPAKK 2026, UIAM dan KPJ Healthcare berharap seni pantun terus menjadi medium bermakna dalam menyampaikan mesej kesihatan mental, selain menyemarakkan kecintaan terhadap warisan budaya Melayu dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat.
Maklumat lanjut mengenai TEPAKK 2026 x Sistem Kesihatan KPJ boleh didapati menerusi laman web rasmi www.tepakk.com.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd