am@hmetro.com.my
Besut : “Senyuman manis Allahyarham Mohd Zamri Mohd Zaki, 41, ketika ditemui empat hari lalu kekal dalam ingatan,” kata bapa saudaranya, Mohd Faiz Abdul Rahman, 44.
Menurutnya, dia sempat bertemu dengan Allahyarham Mohd Zamri ketika terserempak di Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit.
Katanya, ketika berselisih jalan arwah hanya sempat menyapa dari jauh dan tersenyum manis melihat ke arahnya.
“Arwah seorang yang peramah, ceria serta suka berkawan dengan sesiapa sahaja. Disebabkan itu kehilangannya amat dirasai keluarga serta rakan-rakan.
“Isterinya, Allahyarhamah Norlyana Ismail, 45, juga seorang yang baik serta amat disenangi semua orang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Besut, di sini, tadi.
Katanya, arwah meninggalkan seorang anak perempuan berusia 17 tahun serta anak lelaki berusia 19 tahun.
“Arwah mengusahakan bengkel motosikal secara sepenuh masa dan bengkelnya sering menjadi tempat kawan-kawannya berkumpul,” katanya.
Katanya, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Kuala Perlis untuk menghadiri satu majlis ilmu bersama rakan-rakannya.
“Namun hasrat itu tidak kesampaian apabila terbabit dalam kemalangan di Gong Kedak pagi tadi.
“Kami semua terkejut apabila mendapat berita kejadian menimpa mereka suami isteri ketika berkonvoi menunggang motosikal,” katanya.
Menurutnya, jenazah pasangan itu dijangka akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mengabang Telong malam ini.
Sementara itu, tiga lagi mangsa mengalami kecederaan dalam kemalangan itu membabitkan sebuah lori dengan tiga motosikal di Jalan Gong Kedak, di sini hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
