Putrajaya: Seorang lelaki mati ketika melakukan percubaan lompat BASE di bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini, hari ini. Dalam kejadian jam 5.35 petang itu, Azuan Taharudin, 49, bersama tujuh pelompat BASE lain dari Team Putrajaya Corporation (PPj) berlatih untuk persembahan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2021.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata, mangsa dikatakan hilang kawalan payung terjunnya semasa terjun dan terjatuh di sisi bangunan.
“Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 6.10 petang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya, latihan BASE Jump diatur oleh pegawai PPj dan melibatkan pasukan lompat BASE dari pelbagai agensi. “Namun, pihak penganjur tidak memberitahu pihak berwajib, termasuk polis, mengenai latihan tersebut,” katanya- bernama
Malay News
National Desk



