am@hmetro.com.my
Besut: Seorang maut, manakala tujuh lagi cedera dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Bukit Jeruk, di sini, hari ini.
Komander Operasi, PBK I Khairul Anuar Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 12.34 tengah hari yang membabitkan kereta Honda Accord dan pacuan empat roda Toyota Hilux.
Katanya, lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut bergegas ke lokasi dan membantu mengeluarkan mangsa.
“Pemandu kereta Honda Accord (lelaki) serta dua penumpang lelaki cedera, manakala seorang lagi penumpang (lelaki) berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia.
“Sementara pemandu Toyota Hilux (lelaki), penumpang lelaki serta dua penumpang perempuan cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Khairul Anuar berkata, mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat, dengan mereka yang cedera dihantar ke hospital oleh jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang memaklumkan kerja pembersihan dilaksana sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



