East Rutherford: Juara dunia baharu, Sepanyol bakal membawa pulang hadiah rekod bernilai AS$51 juta (RM208 juta) selepas menewaskan Argentina 1-0 yang beraksi dengan 10 pemain pada final Piala Dunia, awal pagi tadi.
Jaringan kemenangan Ferran Torres pada minit ke-106 masa tambahan memastikan La Roja menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua selepas mencatat kemenangan sukar ke atas Argentina kendalian Lionel Scaloni.
Aksi final di New Jersey bukanlah perlawanan yang menghiburkan apabila kedua-dua pasukan bergelut mencipta peluang, namun Argentina semakin tertekan selepas Enzo Fernandez menerima kad kuning kedua pada masa kecederaan akibat terjahan ke atas Pau Cubarsi.
Skuad Luis de la Fuente kemudian mengawal permainan dan memastikan kemenangan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Menurut laporan AS, setiap pemain dalam skuad 26 orang Sepanyol sudah dijamin menerima lebih AS$550,000 (RM2.24 juta) sebelum cukai hanya kerana berjaya mara ke final.
Namun selepas menjulang trofi buat kali kedua, jumlah itu meningkat dengan ketara apabila pemain menerima 45 peratus daripada keseluruhan hadiah kemenangan bernilai AS$51 juta (RM208 juta).
Ini bermakna setiap daripada 26 pemain Sepanyol bakal menerima kira-kira AS$940,000 (RM3.84 juta) sebelum cukai.
Sementara itu, Argentina akan menerima AS$34 juta (RM138.9 juta) selepas gagal pada aksi terakhir. Bagaimanapun, belum ada pengesahan mengenai jumlah agihan kepada skuad 26 pemain mereka.
FIFA sememangnya memberikan ganjaran kewangan kepada setiap pasukan berdasarkan pencapaian mereka dalam Piala Dunia.
Berikut pecahan hadiah wang kejohanan:
Juara: Sepanyol – AS$51 juta (RM208 juta)
Naib juara: Argentina – AS$34 juta (RM138 juta)
Tempat ketiga: England – AS$30 juta (RM122.6 juta)
Tempat keempat: Perancis – AS$28 juta (RM114 juta)
Tempat kelima hingga kelapan: Switzerland, Norway, Belgium, Maghribi – AS$20 juta (RM81 juta)
Tempat kesembilan hingga ke-16: Colombia, Mesir, Amerika Syarikat, Portugal, Mexico, Brazil, Paraguay, Kanada – AS$16 juta (RM65 juta)
Tempat ke-17 hingga ke-32: Ghana, Algeria, Australia, Cape Verde, Austria, Croatia, Bosnia-Herzegovina, Senegal, Republik Demokratik Congo, Ecuador, Sweden, Ivory Coast, Belanda, Jerman, Jepun, Afrika Selatan – AS$12 juta (RM49 juta)
Tempat ke-33 hingga ke-48: Uruguay, Scotland, Korea Selatan, Iran, Uzbekistan, Iraq, Arab Saudi, Curacao, Republik Czech, Qatar, Panama, Jordan, Tunisia, New Zealand, Haiti, Turkiye – AS$10 juta (RM40 juta)
Secara keseluruhannya, jumlah hadiah berkenaan membentuk keseluruhan nilai ganjaran yang diagihkan FIFA kepada semua pasukan bertanding dalam Piala Dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




