Sepanyol tenang tumpaskan Denmark walaupun tanpa tonggak utama

Sepanyol tenang tumpaskan Denmark walaupun tanpa tonggak utama

Copenhagen:Mikel Oyarzabal dan Ayoze Perez menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan 2-1 Sepanyol ke atas tuan rumah, Denmark, sekali gus menduduki tangga teratas Kumpulan A4 Liga Negara-Negara selepas mereka sudah mengesahkan tempat ke suku akhir bulan lalu.

Sepanyol tanpa beberapa pemain utama yang membantu kemenangan 2-1 ke atas England dalam final Euro 2024, namun membuka jaringan pada minit ke-15 menerusi sepakan dari dalam kotak penalti oleh Oyarzabal, sebelum Perez menambah jaringan pada minit ke-58 hasil serangan balas pantas.

Satu kesilapan oleh pemain gantian Sepanyol, Fabian Ruiz, memberikan peluang kepada Gustav Isaksen menjaringkan gol sagu hati tuan rumah pada lewat permainan.

“Kami datang ke sini dengan objektif untuk menang. Kami tahu perlu bertahan sedikit, tetapi kami gembira dengan keputusan ini, kedudukan pertama,” kata Oyarzabal kepada TVE.

Dengan baki satu perlawanan lagi, Sepanyol mengumpul 13 mata, enam mata di hadapan Denmark, manakala pasukan tercorot, Switzerland, hanya seri 1-1 dengan Serbia yang menyaksikan mereka mengumpul dua mata.

Serbia mengumpul lima mata.

Denmark akan bertandang ke Serbia pada hari Selasa dan memerlukan sekurang-kurangnya seri untuk memastikan tempat kedua dan layak ke suku akhir.

Dengan tempat Sepanyol di pusingan kalah mati sudah terjamin selepas kemenangan 3-0 ke atas Serbia bulan lalu, juara Eropah itu mengekalkan prestasi cemerlang mereka meskipun tanpa Dani Carvajal dan Rodri yang cedera lutut serius, dan pemain utama seperti Lamine Yamal dan Robin Le Normand turut tidak hadir.

Sepanyol mendahului apabila kesilapan pertahanan Denmark memberikan bola kepada Dani Olmo yang menyambung kepada Perez seterusnya dihantar kepada Oyarzabal, yang menjaringkan gol pembukaan.

Sepanyol mensia-siakan beberapa peluang untuk menambah jaringan sebelum Olmo akhirnya menemui Perez yang bijak mengelak perangkap ofsaid dan menyudahkan dengan tenang ke dalam gawang.

Denmark berusaha untuk kembali ke dalam permainan dan satu hantaran belakang dari Ruiz meletakkan penjaga gol David Raya dalam keadaan tertekan, dengan Isaksen, cepat memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top